HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2010

Wan Azizah: Kesemua kita menang, yang kalah musuh

Lim Hong Siang

Presiden Parti Keadilan Malaysia (PKR) Wan Azizah Wan Ismail cuba meyakinkan anggotanya bahawa keberanian partinya mengorak langkah pertama untuk melaksanakan "pemilihan langsung" dalam parti telah memenangkan PKR. Sebaliknya, musuh parti yang menyindir PKR adalah mereka yang gagal melaksanakan demokrasi dalam parti mereka.

Menyedari ketidaksempurnaannya dalam pelaksanaan kali pertamanya, maka Wan Azizah (gambar kiri) memetik ayat daripada beberapa orang tokoh, misalnya "lebih baik melakukan sesuatu yang tidak sempurna dari tidak berbuat apa-apa yang sudah pasti tidak cacat "(Robert H Schuller), dan "sekian lama kita mahukan demokrasi sebenar, maka kita perlu mulakan dengan diri kita dahulu" (Mahatma Ghandi) dalam ucapannya.

"Sesungguhnya, tiada siapa yang kalah. Kesemua kita adalah pemenang. Saya ulangi: Kesemua kita adalah pemenang. Yes, we all are the winners!!! We all are the winners!!! Yang tewas adalah musuh-musuh kita. Merekalah sebenarnya yang gagal. Terbukti merekalah yang gagal melaksanakan demokrasi sebenar dalam parti mereka sendiri. Mereka juga telah gagal untuk melihat parti kita gagal melaksanakannya. Mereka harus berasa malu dengan diri."

Demikianlah kata-kata yang cuba menaikkan semangat anggota, namun suasana dalam kongres, malah sambutan daripada perwakilan mungkin tidak cukup meriah sebagaimana yang dijangkakan. Dan ia mungkin menjadi antara sebab Wan Azizah tidak membacakan ayat "Yes, they are the losers!!!" seperti yang ditulis dalam teks asal ucapan dasarnya yang bertemakan "Menjunjung Reformasi Membela Rakyat".

Kuasa itu amanah

Beliau sempat mengingatkan calon yang terpilih bahawa kuasa adalah amanah dengan memetik nasihat daripada Nabi Muhammad SAW. "Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya".

Baginda juga pernah bersabda, "Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat." Ditanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?" Rasulullah bersabda: "Apabila amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!"

Wan Azizah mengingatkan, "Hakikatnya, rakan-rakan kita yang dianggap tidak menang juga telah memberikan sumbangan besar dalam mengangkat martabat parti kita ke mercu lebih tinggi. Mereka sebenarnya telah memberi jasa besar melibatkan diri bertanding dan membuatkan anda menang. Justeru, siapa jua yang di anggap pemenang perlulah menghargai rakan-rakan lain yang dianggap kalah. Ayuh, mari kita bersama-sama berkongsi kemenangan itu. Tanpa mengira siapa, kesemua kita perlu memiliki psikologi pemenang dalam menghadapi PRU 13 akan datang."

Parti yang mendepani zaman

Wan Azizah juga mengambil kesempatan untuk meyakinkan anggotanya bahawa PKR kini berada pada tahap kekuatan yang bukan sahaja digeruni musuh, malah merupakan parti politik yang sedang mendepani zaman.

"12 tahun yang silam, semasa KeAdilan ditubuhkan, musuh sering memperlekeh kita. Kata mereka: 'KEADILAN, parti berbilang kaum (multi-racial party) takkan berjaya…' Apa yang terjadi kini adalah sebaliknya. Ternyata hari ini, KEADILAN muncul sebagai parti berbilang kaum yang digeruni. Sesungguhnya, sedari mula kita amat percaya kepelbagaian adalah suatu keindahan dan kekuatan. Kita percaya bahawa kepelbagaian itu adalah suatu rahmat dan gambaran kebesaran Tuhan. Anugerah besar Tuhan ini tidak boleh sama sekali disesiakan."

"Maka itu, fahaman dan amalan ala-penjajah yang mengamalkan sistem pecah dan perintah melalui agama dan perkauman perlu dilenyapkan dari bumi tercinta ini. Kita juga pernah dilabel sebagai parti nyamuk. Ternyata hari ini kita bagaikan sarang tebuan yang mampu menyerang dan menyengat. Mungkin kerana amat gementar, pemimpin mereka melaungkan kata-kata akan mempertahan Putrajaya walaupun dengan darah dan nyawa."

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Najib Razak ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-61 pada 21 Oktober 2010 berkata, "Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!"

Wan Azizah menambah, "Hakikatnya, dalam mengamalkan demokrasi, mereka telah tercicir jauh di belakang. Maka, untuk menutup kelemahan, maka diwujudkan dasar keanggotaan terus, demi menyaingi dasar kepelbagaian kaum kita. Kita sebenarnya sedang mendepani zaman dengan idea-idea politik baru. Mereka mencela kita di depan serta cemburu dan dendam kesumat di belakang."

"Maka itulah, kita hari ini diserang setiap waktu dan saat. Kalaulah kita ini memang benar-benar lemah seperti yang digembar-gemburkan, apa perlunya kita dipedulikan? Percayalah, mereka menyerang kerana KEADILAN ini adalah sebuah parti yang kuat dan gagah, kuat dan gagah membelah lautan politik negara."

Syed, Khalid, Saifuddin dan Molly Cheah

Apa yang menarik, Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang dijadikan sasaran dalam Kongres PKR yang berlangsung pada Mei tahun ini di Kota Bharu, disebut namanya beberapa kali oleh Presiden PKR dalam ucapannya ketika merakamkan penghargaan dan pujian pada hari ini. Kongres kali ini mencatat kadar kehadiran perwakilan setinggi 59%, iaitu 1,209 daripada jumlah 2,033 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Molly Cheah dan Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution (gambar kanan) juga diberi penghargaan kerana melaksanakan misi pemilihan langsung dalam parti. Timbalan Presiden yang bakal bersara selepas Kongres Nasional ini, diberi penghargaan yang panjang lebar di akhir ucapan Presiden, tetapi jelas teks penghargaan itu dimasukkan pada saat-saat terakhir, kerana tidak terkandung dalam teks asal yang tercetak dan diedarkan kepada perwakilan, pemerhati dan media.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: