HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 November 2010

PKR tidak ketepi calon kalah

Harakahdaily

PETALING JAYA: Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ke-7 berakhir petang semalam dengan ucapan penangguhan daripada Ketua Umumnya,Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam ucapannya menegaskan bahawa calon-calon yang kalah dalam pemilihan PKR termasuk Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub tidak akan diketepikan oleh parti.

Sebaliknya janji Anwar, mereka akan diberikan peranan tertentu dalam kepimpinan parti sebagai usaha memperkuatkan PKR.

"Mengapa beliau (Mustaffa Kamil) harus diketepikan. Beliau adalah orang yang teruji. Kita akan panggil semula rapatkan kepimpinan," katanya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, selain Mustaffa, beliau juga akan memanggil calon yang kalah antaranya, calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin dan Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Dalam ucapan juga, Anwar menjanjikan peranan yang penting kepada pemimpin daripada Sabah dan Sarawak dalam memperkuatkan barisan kepimpinan parti itu.

Sementara itu, perwakilan mahu beliau meneruskan peranannya sebagai Ketua Umum.

“Hendak saya sambung?” tanya Anwar.

Mereka dengan lantang melaung ‘mahu’ apabila Anwar bertanya sama ada perwakilan mahu beliau meneruskan peranannya selama ini.

“Nantilah saya bincang dengan (Presiden PKR, Dr Wan) Azizah (Ismail) dulu,” katanya dengan nada seloroh.

Dalam pada itu, Mustaffa sebelum itu dalam ucapannya memberikan jaminan akan terus bersama dalam perjuangan parti meskipun kalah dalam pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden.

"Saya tetap bersama Keadilan. Benar, saya duduk dengan Zaid pada satu isu pemilihan tapi itu ketika Zaid masih ahli. Kini, bila saya kalah, Zaid pelawa sertai dia, Muhyiddin pun hantar orang tapi saya kata, saya tetap dengan Keadilan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada timbalan presiden yang baru, Mohamed Azmin Ali.

Tiada ulasan: