HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 November 2010

PKR perlu sedia hadapi PRU mulai sekarang, kata Azizah



PETALING JAYA - Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meminta supaya semua ahli parti itu bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Beliau berkata semua ahli parti tidak mempunyai pilihan kecuali untuk bersiap sedia kerana memikul amanah besar untuk membela rakyat.

“Kita berkumpul pada hari ini di dalam kongres yang terakhir sebelum pilihanraya umum ke-13, kalau desas-desus yang kuat bertiup itu benar.

“Apa pun, kita tidak punya pilihan kecuali untuk bersiap sedia secukupnya kerana kita memikul amanah besar untuk membela rakyat. Kalau ada yang pernah luka, hilangkanlah parutnya.

“Kalau ada yang sedikit tercalar, gilaplah supaya semangat juang kembali tinggi untuk berdepan dengan musuh. Yang menang memikul tanggungjawab memimpin, yang kalah bersiap sedia merempuh musuh bak kata pepatah biduk lalu kimbang bertaut,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional PKR di sini.

Dr Wan Azizah berkata amanah membela rakyat dn mengangkat martabat negara adalah lebih besar dari parut atau calar dalam parti itu.

“Apatah lagi, dalam suasana rakyat di bawah yang terus ditindas dengan kemelut sara hidup yang tinggi. Pemerintah Pusat tidak pernah jemu dengan rancangan ekonomi bersaiz mega dan ungkapan-ungkapan yang memukau.

“Mulanya dengan NEM, kemudian beralih kepada ETP, lantas jadi pula EPP. Jutaan wang rakyat dibazirkan untuk membayar entah berapa ramai juru runding untuk memilih huruf-huruf besar ini, tetapi kesannya kepada rakyat kecil sekali,” katanya.

Beliau berkata perancang ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti terpisah dari realiti keperitan hidup di bawah.

“Sedang mereka tenggelam dalam impian membina bangunan tinggi 100 tingkat di bilik mesyuarat mereka, rakyat miskin di bandar-bandar dan di desa terlantar lara tidak mampu memiliki sebuah rumah.

“Bukan sahaja jumlah rumah kos rendah atau mampu milik tidak mencukupi, kalau pun permohonan mereka diterima, mereka berdepan pula

dengan masalah mendapatkan pembiayaan akibat syarat-syarat yang terlalu ketat.

“Pertumbuhan ekonomi jiran kita Indonesia kekal enam peratus. Ia adalah lebih baik berbanding Malaysia yang meskipun dijangka mencapai tujuh peratus, namun ia adalah pertumbuhan ekonomi negara selepas penguncupan,” kata Dr Wan Azizah.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata PKR perlu terus meletakkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat terulung dalam perancangan ekonomi negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

“Kita perlu terus meletakkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat terulung dalam perancangan ekonomi negeri-negeri yang kita kuasai.

“Hatta, pendekatan merakyatkan ekonomi yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat perlu dijunjung menjadi dasar-dasar teras dalam kerangka ekonomi kita. Isu-isu pokok yang kini membelenggu rakyat seperti isu perumahan dan peluang pekerjaan perlu dirungkai oleh PKR dan Pakatan Rakyat.

“Rakyat. Malaysia memerlukan proses reformasi yang radikal untuk menyelesaikan segera permasalahan rakyat terbanyak, bukannya transformasi kosmetik yang tenggelam di sebalik kempen-kempen public relations yang mahal,” katanya.

Tambah Dr Wan Azizah, matlamat sebenar PKR adalah untuk membela rakyat dengan mengembalikan hak dan meletakkan kesejahteraan sebagai matlamat keramat parti itu.

“Amanah kita untuk membela rakyat dengan mengembalikan hak mereka dan meletakkan kesejahteraan mereka sebagai matlamat keramat adalah amanah yang besar.

“Amanah ini memerlukan persiapan kita baik dari segi keupayaan kita mendengar masalah mereka, kebolehan kita menterjemahkan dasar-dasar yang berkesan untuk menyelesaikan masalah mereka dan ketabahan kita melakukan perubahan demi rakyat walaupun berdepan dengan tentangan.

“Oleh itu saya mengingatkan para perwakilan untuk menumpukan sepenuh perhatian mencari inovasi baru untuk membela rakyat terutamanya dalam bidang ekonomi, supaya kita dapat menyelamatkan negara dan rakyat dari terus ketinggalan berbanding jiran-jiran,” katanya.

16 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bukan saja PKR, semua parti perlu bersedia dalam menghadapi PRU 13 nnti.

Bujang Senang berkata...

Bukan PKR saja, tapi semua parti perlu bersedia untuk menghadapi PRU yang akan datang. BN juga harus memberikan yang terbaik untuk rakyat.

zam berkata...

semua parti tidak kira PR atau BN perlu sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi PRU 13 yang akan datang.

Sanih Alias berkata...

bersedia sebelum terlambat. Itu yang sesuai ditujukan kepada mana-mana parti. Jika terlambat maka rugilah parti tersebut. Rakyat akan memberikan sokongan kepada parti yang betul memahami mereka.

zam berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
zam berkata...

PKR beranggapan perancang ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti terpisah dari realiti keperitan hidup di bawah. sepatutnya PKR membina kekuatan tanpa perlu memburukkan parti lawan.

Anak Sabah berkata...

PKR patut menyelesaikan isu dalaman mereka terlebih dahulu kerana itu akan melemahkan parti mereka.

Anak Sabah berkata...

Apa-apa pun, diharapkan semua parti akan bersiap sedia menghadapi PRU ke-13. Selamat berjuang.

gambir berkata...

Semua parti perlu bersedia untuk menghadapi PRU pada masa akan datang.

gambir berkata...

Perlu ada strategi baharu bagi memastikan parti itu lebih mantap.

Tanpa Nama berkata...

dalam usaha menjentik semangat ahli2 PKR untuk menghadapi PRU 13, sempat juga Dr Wan Azizah memburuk2kan parti pemerintah. cuba bandingkan ekonomi Selangor semasa diperintah oleh BN dan setelah diambil alih oleh PKR.. lagi cuba lihat apa yang berlaku dalam PKR hari ini. sedangkan parti sendiri tidak terjaga, inikan pula seluruh Malaysia..

kb girl berkata...

Betul cakap Wan Azizah, sentiasa bersedia untuk menghadapi PRU 13 akan datang.

Unknown berkata...

Kemenangan selalunya berpihak pada pihak yang bersedia.

Unknown berkata...

Komponen BN juga mesti bersedia. JIka tidak, nanti huru-hara.

Unknown berkata...

Nasihat dari presiden parti, Bersedialah.

Antanum berkata...

Kena bersedia dalam segala aspek, yang penting jangan gunakan strategi kotor untuk meraih undi.