HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2010

Krisis air: S'gor digesa ketepi sentimen politik

BERNAMA

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu pula berkata Kerajaan Negeri Selangor perlu mengetepikan sentimen politik dalam mencari jalan untuk mengelak berlakunya krisis air pada masa akan datang.

"Ini berkaitan (menolong) manusia, bukan mengenai politik, jadi ketepikan perkara itu dan sama-samalah kita menolong orang ramai yang akhirnya mungkin menjadi mangsa," katanya seperti dilaporkan Bernama.

NONEBeliau berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu saling mempercayai untuk memastikan krisis air di Selangor tidak menjadi semakin buruk.

Marimuthu berkata demikian dalam Forum Air Selangor bertajuk "Pengurusan dan Permintaan terhadap Air" hari ini, lapor agensi berita itu.

Kerajaan persekutuan pernah menyatakan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 perlu dilaksanakan dengan segera seperti yang dirancang untuk mengelak berlaku krisis air di negeri ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan berkata projek itu hanya perlu dilaksanakan pada 2019 dan mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya mengurangkan kadar Air Bukan Hasil serta melaksanakan sistem penuaian air hujan.

Dalam pada itu, Ketua pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Datuk Ir Lee Miang Koi berkata, Selangor akan dilanda krisis air menjelang 2012 sekiranya pemegang kepentingan dalam pengurusan air di negeri ini gagal mencari penyelesaian segera mengenainya.

Beliau berkata sebagai negeri maju, permintaan air di Selangor meningkat tahun demi tahun.

Katanya berdasarkan perkiraan SYABAS, setiap isi rumah di negeri ini menggunakan 212 liter air sehari dan jumlah ini agak tinggi berbanding di negara lain.

"Di Singapura contohnya, setiap orang hanya menggunakan 156 liter air sehari," katanya dalam forum berkenaan di Petaling Jaya hari ini.

Forum itu dianjurkan bersama oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta dihadiri lebih 100 peserta.


Tiada ulasan: