HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 November 2010

Antara kebebasan media dan kebebasan berbohong

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Kemarahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak berakhir di sidang media di mana RTM dan TV3 ditengking. Ia beralarutan hingga ke Sidang Dewan Undangan Negeri.

Menjelang Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Penggal Ketiga Mesyuarat Bajet baru-baru ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Helmi Mohamad Khalid mengeluarkan arahan supaya hanya 12 buah media dibenarkan membuat liputan.

Mereka adalah Bernama, Sinar Harian, The Star, Harakah, Makkal Osai, Malaysia Nanban, Oriental Daily, Sin Chew Daily, Kwong Wah Jit Poh, China Press, Nan Nang Siang Pau dan Guan Ming Daily.

Pada hari Sidang DUN berlangsung, media-media pemfitnah yang tidak dibenarkan masuk cuba ‘membuat kecoh’ di hadapan pintu masuk pusat pentadbiran Wisma Darul Aman. Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang menjadi jurucakap pihak media pemfitnah itu menghentam Kerajaan Negeri kerana tidak membenarkan kumpulan media tersebut masuk ke Sidang DUN untuk membuat liputan. “Mana dia janji PAS dalam manifesto lalu bahawa mereka akan menjamin kebebasan media jika diberi peluang berkuasa?” soal Keng Liang dalam satu sidang media yang diadakan di pintu masuk Wisma Darul Aman.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dalam reaksi spontan terhadap kenyataan Ketua Pemuda Gerakan itu berkata, “Kita menjanjikan kebebasan media, bukan kebebasan memfitnah.”

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Mahdzir Khalid mendakwa kononnya Kerajaan Negeri menyekat rakyat mengetahui titah ucapan Tuanku Sultan kerana tidak membenarkan media-media pemfitnah itu masuk Sidang DUN.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah pula menjawab bahawa pihaknya sedia memberikan rakaman titah ucapan Sultan Kedah sewaktu merasmikan Sidang DUN kepada RTM dan TV3, jika betul mereka mahu menyiarkannya untuk tontonan rakyat.

“Dengan syarat mereka mesti menyiarkan keseluruhan titah ucapan tersebut dan jangan sekali-kali memotong isi kandungannya,” tegas Helmi.

Tambahnya lagi, adalah munasabah untuk menyiarkan keseluruhan titah ucapan tersebut kerana titah baginda tidaklah terlalu panjang.

Titah ucapan perasmian Sultan Kedah sangat menarik. Dalam titahnya, baginda berasa dukacita dengan suara-suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan serta pengorbanan Kerajaan Negeri dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

“Beta dukacita kerana ada suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan Kerajaan Beta serta semua pihak yang terlibat di dalam membantu mangsa banjir,” titah baginda. Ia meletakkan pihak pembangkang DUN dalam dilema. Jika mereka menjadikan sidang DUN kali ini sebagai gelanggang untuk menyalahkan Kerajaan Negeri dalam isu banjir, maka mereka dengan segaja menyanggah maksud titah Sultan. Derhaka namanya.

Media-media talibarut BN cukup cekap dalam mengeksploit titah ucapan pihak istana. Titah Sultan Selangor dan Raja Muda Perak selalu menjadi bahan manipulasi oleh mereka demi faedah politik.

Jika media tersebut mahu mencari bahan yang boleh dieksploit dari titah ucapan Sultan Kedah dalam Sidang DUN, mereka pasti tidak menemuinya. Melainkan yang ditemui ialah tempelakan terhadap pihak yang asyik menyalahkan Kerajaan Negeri. Maka masakan RTM dan TV3 berani untuk menyiarkan keseluruhan ucapan tersebut.

Di sebalik isu ini, pihak BN sudah pandai untuk bercakap mengenai kebebasan media. Ia perkembangan baru dan menarik setelah dalam separuh abad dan setelah seluruh dunia tahu bahawa kebebasan media yang hakiki tidak wujud di Malaysia.

Mereka nampak kebebasan media tertutup apabila ada pihak mengganggu kerja mereka menabur fitnah dan propaganda jahat terhadap Pakatan Rakyat. Tetapi mereka langsung tidak nampak bahawa kebebasan media sudah lama mati apabila media-media utama negara hanya menyalurkan maklumat dalam versi sebelah pihak sahaja.

Versi sebelah pihak pun bukanlah salah besar dalam jurnalisame, jika semua media kebetulannya mengambil pendirian yang sama untuk menyebelahi pihak tersebut sama ada secara sukarela atau secara paksa. Misalnya jika TV3 mahu menggelapkan terus berita mengenai Pakatan Rakyat sebaliknya hanya mahu menyiarkan kegiatan BN sahaja, maka media elektronik itu tidak bersalah. Ia syarikat swasta. Lantaklah siapa dia nak sokong atau dokong. Yang tidak betulnya ialah ia memburukkan pihak lawan dengan menabur fitnah, pembohongan dan penipuan. Ia satu pencerobohan hak.

Menyiarkan laporan bahawa Kerajaan Negeri tidak membantu rakyat yang ditimpa musibah banjir, tidak turun padang, hanya berpeluk tubuh atau menyalurkan bantuan hanya kepada para penyokongnya sahaja adalah terang-terangan satu pembohongan besar. Lebih besar dari banjir besar. Mangsa banjir mungkin tahu bahawa Kerajaan Negeri dan YB dari Pakatan membantu mereka, tetapi bagaimana dengan rakyat di Johor dan Melaka yang jauh dari petaka banjir. Mereka akan menelan bulat-bulat fitnah jahat RTM dan TV3 itu. Inikah kebebasan media?

Tapi apa boleh buat. Perangai BN memang begitu dalam menilai salah betul sesuatu perkara. Apabila ada pihak membongkar penyelewengan mereka maka ia dianggap salah. Apabila mereka berbohong dan memfitnah melalui media ianya halal.

Wanita bukan Islam masuk surau tak tutup aurat haram. Rosmah Mansor isteri Najib masuk masuk masjid dedah rambut nampak aurat, halal. Cina DAP masuk masjid, haram. Kamalanathan (MP Hulu Selangor) masuk masjid ruang solat, halal. Imam berdoa minta Lim Guan Eng masuk Islam, haram.

Imam Umno baca Yaasin minta menangkan calon BN Hulu Selangor, halal. Kerajaan negeri P. Pinang beri wang saguhati pada fakir miskin dari tabung negeri didakwa Umno haram kerana kononnya duit judi, walhal kerajaan negeri tidak guna duit judi untuk beri pada orang Islam. Umno kutip balik dari fakir miskin dan sapu duit tu, tak serah balik sekupang pun kat kerajaan negeri, halal pulak.

Umno dakwa duit sumber judi haram, tapi duit hasil cukai judi yang masuk dalam perbendaharaan untuk bayar gaji depa (wakil rakyat) halal pulak, tak payah pulang balik. Umno dakwa duit sumber judi haram, tapi depa luluskan lesen judi, halal. Najib tabur duit berjuta-juta untuk beli undi dalam pilihanraya ia adalah halal, bila PAS tawar duit tambang pulang mengundi ia bertukar menjadi salah.

Halal dan haram Umno bukan merujuk kepada kebenaran yang dibawa, sama ada ajaran Islam atau lunas undang-undang tetapi mengikut petunjuk nafsu serakah mereka.

Maka betul sangatlah apabila media-media pemfitnah itu diboikot oleh Kerajaan Negeri Kedah. Sekurang-kurangnya dapat menyekat mereka dari berterusan melakukan dosa.

Tiada ulasan: