JAKARTA – Kisah wanita Malaysia termasuk gadis bawah umur lari bersama kekasih ke Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, bukan perkara baru dan sejak 10 tahun lalu, 15 kes seumpamanya telah dilaporkan berlaku di pulau itu.
Bilangan sebenar mereka yang pergi ke pulau itu atas nama cinta dipercayai lebih besar berdasarkan laporan-laporan media tempatan dan difahamkan mereka kebanyakannya rela menetap di sana walaupun terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.
Sehingga kini, jumlah sebenar mereka yang terbabit tidak dapat dipastikan tetapi kes ini bukan sahaja dilaporkan berlaku di pulau Lombok, malah tujuh kes serupa juga dilaporkan berlaku di beberapa tempat lain iaitu di pulau Jawa, Sulawesi, Sumatera dan Kalimantan.
Setakat ini, 22 kes dilaporkan ke Kedutaan Besar Malaysia di sini, sama ada oleh keluarga mereka melalui Wisma Putra atau secara langsung ke pejabat kedutaan di sini selain oleh pihak berkuasa Indonesia apabila wanita berkenaan berdepan dengan masalah.
Terbaru ialah kes Harlizan Ibrahim, 35, wanita Malaysia yang ditinggalkan kekasihnya di Lombok Barat dan telah bernekad untuk menetap di pulau itu kerana malu pulang ke pangkuan keluarga di Kuala Terengganu.
Itulah pengakuan Harlizan kepada wartawan tempatan dua hari lalu ketika menceritakan kisah hidupnya tinggal di sebuah kampung yang jauh dari kota, semuanya dibuat atas permintaan kekasihnya bernama Asitah, lebih setahun yang lalu.
Sejak itu Asitah telah pulang semula ke Malaysia untuk bekerja dan selepas empat bulan berlalu beliau terputus hubungan dan tidak mendapat sebarang khabar berita daripada kekasihnya.
Wanita itu yang melahirkan seorang anak lelaki enam bulan lalu dan kini ditempatkan sementara di sebuah rumah kebajikan Bude Rini, Mataram, Lombok, memberitahu wartawan tempatan beliau terpaksa menggunakan kayu api untuk memasak, suatu kesukaran yang tidak pernah beliau lalui dalam kehidupannya di Malaysia.
Beliau juga dilaporkan terpaksa menjual kesemua barang kemasnya untuk perbelanjaan anaknya dan sejak akhir-akhir ini Harlizan mengalami masalah tekanan mental dan telah dua kali dibawa ke Hospital Sakit Jiwa di Mataram oleh rumah kebajikan itu.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di sini sedang berusaha membantu menguruskan penghantaran pulang Harlizan ke tanah air selain menguruskan kebenaran untuk beliau membawa bersama anaknya, walaupun beliau sendiri sehingga kini masih menolak untuk pulang Malaysia.
“Pihak kami telah beberapa kali menghubungi Harlizan sejak 6 Oktober lalu dan sejak itu setiap tiga atau empat hari sekali menghubunginya sehingga 21 Oktober lalu, namun beliau tetap tegas tidak mahu pulang ke Malaysia,” kata jurucakap bahagian Konsular Kedutaan Besar Malaysia di sini Khamis.
Beliau berkata pihaknya akan membantu Harlizan dalam urusan dengan Imigresen Indonesia berkaitan kesalahan beliau tinggal lebih masa di republik itu manakala bagi anaknya pula, akan mengeluarkan visa yang sesuai kerana status anak itu ialah warganegara Indonesia mengikut undang-undang di republik itu.
Undang-undang No. 62 Tahun 1958 Tentang Kewarganegaraan Indonesia Bab II, Fasal 4 (c) menyebut: “Anak yang lahir di Indonesia dari perkahwinan seorang ayah warganegara Indonesia dan ibu warganegara asing, secara automatik menjadi warganegara Indonesia”.
Jurucakap itu berkata Kedutaan Besar Malaysia difahamkan bahawa rumah kebajikan Bude Rini kini sedang membantu menguruskan pendaftaran sijil kelahiran anak itu selain menguruskan pasport untuk bayi itu.
Katanya daripada 15 kes seumpamanya di Lombok, lapan orang adalah gadis bawah umur dan enam daripada mereka, termasuk lima kes bawah umur telah dihantar pulang Malaysia.
Sementara itu, empat daripada tujuh kes serupa di luar pulau Lombok telah juga dihantar pulang ke tanah air. Jumlah mereka yang telah dihantar pulang ke Malaysia sehingga kini ialah 10 orang.
Pihak Kedutaan Besar Malaysia kini masih mengesan 12 lagi kes berkenaan di Lombok dan di tempat lain di republik ini, tambahnya.
Di KUALA TERENGGANU, kakak Harlizan, Hartini Ibrahim berkata adiknya tidak perlu malu untuk pulang ke kampung kerana keluarga mereka sentiasa menunggu kepulangannya.
“Saya berharap adik saya segera pulang ke pangkaun keluarga kerana ibu, (Hasmah Sheikh Puteh) sangat merinduinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nibong, Kuala Terengganu, hari ini.
Hartini berkata keluarganya tidak mengetahui secara mendalam hubungan adiknya dengan pemuda Lombok itu, malah beliau yang paling rapat dengan Harlizan juga tidak tahu nama pemuda itu.
Katanya adik ketiga daripada tujuh beradik itu sering menghubungi keluarganya untuk bertanya khabar tetapi tidak bercerita mengenai kehidupan di sana dengan lelaki itu.
“Dua hari lepas saya baru berhubung melalui telefon dengannya. Dari perbualan itu, saya rasa Harliza tidak menghadapi sebarang tekanan, mungkin dia cuba sembunyikan apa yang berlaku dari kami,” katanya.
Hartini berkata, beliau telah berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Indonesia untuk membawa pulang adiknya itu ke Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan