HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2010

Wanita mahu jawatan Ketua Umum diletak dalam Perlembagaan Parti

SELANGOR KINI

PETALING JAYA – Ketua Wanita Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), Zuraida Kamaruddin hari ini mencadangkan supaya jawatan ketua umum — kedudukan tertinggi dalam parti itu diwujudkan dengan serta-merta.

Ahli Parlimen Ampang itu juga mahu jawatan tersebut digubal serta-merta dalam perlembagaan parti itu.

Menurut Zuraida, langkah tersebut dibuat bagi memberi pengiktirafan di atas peranan dan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perkembangan parti itu selama ini.

“Kewujudan jawatan itu (ketua umum) bukan memberi ancaman terhadap autoriti dan pengaruh presiden dan timbalan presiden sebaliknya hanya berperanan sebagai ‘mentor’ kepada pembangunan parti.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sosok penting dalam sejarah penubuhan KEADILAN. Peranan dan pengaruh utamanya tidak boleh kita nafikan.

“Malah diketahui beliau seorang tokoh yang amat disegani sehingga ke peringkat antarabangsa. Pengaruh dan kapasitinya tidak harus disia-siakan dan dimanfaat buat kebaikan parti,” kata Zuraida dalam ucapan dasar ketua wanita ketika Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di sini.

Beliau berkata, kewujudan jawatan ketua umum itu adalah demi menjaga dan memelihara pengaruh KEADILAN dalam landskap politik semasa.

“Relevannya, diwujudkan jawatan ketua umum buat Anwar adalah demi menjaga dan memelihara pengaruh, peranan dan statusnya dalam KEADILAN agar kelangsungan dalam lapangan politik semasa terus gah dan sentiasa digeruni,” katanya.

Anwar kini adalah Penasihat KEADILAN.

Dalam ucapan itu. Zuraida garang membidas tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan jawatan Ketua Umum yang disandang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar adalah susuk penting dalam sejarah penubuhan KEADILAN yang bermula dengan peristiwa pemecatan beliau pada 2 September 1998 sehinggalah tertubuhnya Parti Keadilan Nasional yang ketika itu dipimpin oleh presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Zuraida turut menyentuh pemimpin demokrasi dari Burma, Aung San Suu Kyi, yang disifatkan ikon buat pemimpin wanita lain untuk berjuang.

Beliau turut memberi persamaan antara ikon demokrasi Burma itu dengan ketokohan Anwar.

Katanya, walaupun wujud perbezaan senario dan lanskap tekanan bagi kedua-dua negara namun ketokohan Suu Kyi setanding dengan Anwar.

- Malaysian Insider

Tiada ulasan: