HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 November 2010

Skandal PKNS: Siapa Kebas RM520,000?

SABAH DAILY


Perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor tidak menerima penajaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) seperti didakwa seorang wakil rakyat pembangkang di Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.

Bapa angkasawan negara, Datuk Sheikh Mustapha Shukor sambil menafikan tajaan RM520,000 itu, berkata ia sengaja disebarkan pihak tertentu untuk mencemarkan nama baik anaknya.

“Perkahwinan Muszaphar memang ditaja tetapi tiada apa-apa kaitan langsung dengan PKNS. Setahu saya, mereka tidak beri apa-apa (tajaan) untuk majlis itu. Sebenarnya, saya tidak tahu bagaimana cerita perbadanan itu menaja majlis perkahwinan anak saya boleh tersebar,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sidang media itu bagi menjelaskan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib mengenai perbelanjaan melampau pengurusan baru PKNS, termasuk menaja perkahwinan Muszaphar dan pasangannya, Datin Dr Halina Mohd Yunos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 10 Oktober lalu.

Mustapha menjelaskan pembabitan anaknya dengan agensi itu lebih kepada urusan perniagaan, termasuk Pusat Penerokaan Sains dan Angkasa Antarabangsa (IACDC) di Taman Sains PKNS, Cyberjaya.

“IACDC membabitkan usaha sama antara PKNS dan Advanced Science Education Asia Sdn Bhd yang ditubuhkan Muszaphar. Ia inisiatif Muszaphar untuk meningkatkan pendidikan sains aeroangkasa di Malaysia.

“Pada 7 Oktober lalu, majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara kedua-dua entiti itu diadakan yang turut dihadiri 120 angkasawan dari seluruh dunia bersama pasangan masing-masing, disusuli majlis makan malam.

Mungkin RM520,000 yang didakwa itu bagi membiayai program berkaitan pusat berkenaan dan bukan perkahwinan Muszaphar-Halina. Isu ini mungkin timbul kerana program itu berlangsung dua hari sebelum perkahwinan mereka,” katanya.

Beliau turut dimaklumkan kehadiran angkasawan terbabit bukan hanya dibiaya PKNS, malah Kerajaan Pusat melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Penerbangan Malaysia (MAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Muszaphar kecewa dan sedih dengan isu ini dan berharap ia diselesaikan segera. Beliau dan isteri yang kini berada di Tanah Suci dijadualkan pulang, Isnin ini,” katanya.

Sheikh Mustapha turut mendakwa wujud pakatan untuk menjatuhkan anaknya kerana iri hati dengan pemilihannya sebagai angkasawan negara, malah pihak sama juga yang menyebarkan pelbagai fitnah sebelum ini, termasuk mendakwa Muszaphar mengumpul kekayaan melalui siri ceramah dan program motivasi dihadirinya.

“Muszaphar dipanggil MOSTI bagi membantu siasatan kononnya dia memperoleh pendapatan RM1.2 juta melalui ceramah dan program motivasi. Siasatan membuktikan ia tidak benar dan lebih kepada cubaan untuk memburukkan namanya,” katanya

Tiada ulasan: