HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 November 2010

Parlimen tolak usul bahas kenyataan rasis pengawas SPM

KUALA LUMPUR - Parlimen menolak usul dibawa wakil rakyat Pakatan Rakyat bagi membahaskan isu kenyataan berbuar perkauman yang didakwa dikeluarkan oleh seorang pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Lukut, Negeri Sembilan minggu lalu.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengetepikan usul Ahli Parlimen Bakri dari DAP Er Teck Hwa atas alasan isu berkenaan sedang disiasat oleh Kementerian Pelajaran.

Usul yang dikemukakan Er semalam ditolak oleh Pandikar di kamarnya hari ini atas alasan ia gagal memenuhi salah satu daripada tiga kriteria yang digariskan.

Dalam suratnya kepada Er, Pandikar menjelaskan, usul itu bukan sesuatu yang perlu disegerakan memandangkan Kementerian Pelajaran sudah pun membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk meneliti insiden berkenaan.

“Atas alasan ini, saya menolak usul Yang Berhormat di kamar,” kata Pandikar dalam suratnya, yang salinannya diedarkan kepada wartawan.

Terdahulu di Dewan Rakyat, Er ketika sesi soalan lisan membantah keputusan Speaker tetapi tidak dilayan oleh Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee.

“Keputusan Speaker adalah muktamad,” kata Er.

Dalam usulnya, Er mendakwa pengawas terbabit yang juga seorang guru dari Port Dickson didakwa mengeluarkan kenyataan rasis melibatkan pelajar-pelajar India dan Cina ketika mengawasi peperiksaan SPM di sebuah sekolah di Lukut, Negeri Sembilan minggu lalu.

Er menegaskan isu itu perlu dibahaskan di Dewan Rakyat memandangkan ia melibatkan perkara khusus, perlu disegerakan dan membabitkan kepentingan awam.

“Tindakan drastik dan efektif perlu diambil untuk mengelakkan insiden-insiden seumpama itu daripada berulang,” kata beliau.

Dalam insiden 24 November lalu, pengawas terbabit didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pelajar-pelajar Cina dan India apabila mereka tiba lewat di dewan peperiksaan bagi menduduki peperiksaan SPM.

Menurut laporan, uru berkenaan didakwa meminta pelajar-pelajar terbabit pulang ke China dan India jika mereka tidak boleh memahami arahan dalam bahasa Malaysia.

“Sejak kebelakangan ini, kenyataan-kenyataan berbaur perkauman seperti ini yang menyinggung perasaan kita, sedangkan apa yang kita harapkan ialah perpaduan dan harmoni.

“Kenyataan-kenyataan seperti ini pernah dibuat oleh banyak pihak seperti pegawai khas kepada Perdana Menteri pada Februari lalu, seorang guru dari SMK Gajah Berang Julai lalu dan dua pengetua dari SMK Tunku Abdul Rahman Putra dan SMK Bukit Selambau pada Ogos lalu dan satu lagi insiden sekarang,” kata Er dalam notisnya.

Kata beliau, insiden-insiden itu dengan jelas tidak boleh dianggap sebagai kes-kes terpinggir memandangkan kesemuanya ada kesamaan dan merujuk kepada masyarakat Cina dan India.

Ia merupakan usul kedua membabitkan kenyataan berbaur perkauman dibawa ke Parlimen bulan ini.

Pada 13 Disember ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan menjawab berhubung usul isu patriotisme yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran awal bulan ini.

Zahid sebelum ini didakwa mempersoalkan semangat patriotisme orang India dan Cina negara ini, dan dilaporkan sebagai antara punca bukan Melayu kurang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dewan Rakyat menetapkan minggu kedua untuk membahaskan usul berkenaan.

Usul itu dikemukakan oleh Kulasegaran ekoran jawapan beliau di Dewan Rakyat 9 November lalu.

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Penolong Pengarah Biro Tatanegara Wilayah Persekutuan Hamim Husin telah digantung tugas berkuat kuasa 6 Oktober lepas selain diberikan amaran kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam satu majlis anjuran Puteri Umno pada 27 September lalu.

Kata Nazri, dua lagi penjawat awam turut dikenakan tindakan iaitu pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor dan pengetua Sekolah Menengah Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah berkaitan tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Kedua-dua pegawai telah digantung daripada menjalankan tugas, dan masing-masing ditempatkan di Jabatan Pelajaran Johor dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda Kedah berkuatkuasa 23 Ogos lepas,” katanya.

Menyentuh kes pengetua di Johor, katanya prosiding tatatertib telah diambil berdasarkan peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib) 1993 dengan surat pertuduhan telah dikemukakan kepada pengetua itu untuk membuat representasi membela diri dalam tempoh 21 hari.

“Setelah pegawai mengemukakan representasi bertulis, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Pengurusan Satu akan bersidang dan memutuskan hukuman tatatertib terhadap pegawai jika didapati bersalah,” katanya.

Nazri berkata kerajaan amat komited untuk membendung perbuatan itu dan memberi jaminan akan mengenakan siasatan dan mengambil tindakan kepada pegawai-pegawai terlibat berasaskan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Awal Februari lalu, Datuk Nasir Safar yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman pada satu seminar di Melaka dan beliau telah meletakkan jawatan sejurus selepas itu.

Sebanyak 58 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung ucapan Nasir pada Seminar 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Nasir dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa “orang India datang ke Malaysia sebagai pengemis manakala orang Cina pula khususnya wanita untuk menjual badan mereka” ketika berucap pada Program Rapat 1Malaysia anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas di Melaka, 2 Februari lalu.

Tiada ulasan: