HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 November 2010

Anak mahu Bapak selesai segera isu peneroka

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Gabungan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini menyerahkan 20 kes pertama yang ada pada mereka kepada Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak).

Penyerahan tersebut dibuat Pengerusi Anak, Mazlan Aliman kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, Datuk Ahmad Maslan di parlimen hari ini.

Dalam sidang medianya, Mazlan mahu kesemua aduan peneroka yang diserahkan itu diselesaikan segera seperti dijanji timbalan menteri itu sebelum ini kerana kesemua kes tersebut sudah lama berlaku.

"20 aduan ini hanya sebahagian kecil dari aduan yang banyak kita terima yang berkait langsung dengan dasar Felda.

"Kita harap mampu dikendalikan oleh Bapak," katanya.

Turut serata pada penyerahan itu, beberapa wakil dari peneroka Felda Lawin Selatan, Perak.

Antara masalah yang dikemukakan termasuklah isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80 ribu dalam masa 7 tahun, dan permasalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.

Ahmad pada sidang media sama memberi jaminan akan meneliti masalah yang dikemukakan Anak itu dan akan memanjangkan perkara itu kepada Bapak.

Menurutnya, dengan tambahan 20 aduan dari Anak itu, Bapak kini sudah menerima 658 aduan sejak ditubuhkan.

Bapak adalah sebuah biro yang ditubuh dibawah NGO, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang dipengerusikan Tan Sri Rozali Ismail.

"Banyak benda yang mengelirukan, tidak jelas dan samar-samar yang memerlukan penjelasan Felda," katan Mazlan lagi.

Mazlan sebelum ini juga mendakwa penubuhan Bapak membuktikan usaha Anak bagi membuka mata kerajaan tentang permasalahan peneroka Felda, adalah berjaya.

Bagaimanapun menurutnya, Anak akan sentiasa meneliti dan menyalur aduan yang diterima mereka kepada Bapak.

Anak sebelum ini dikenali sebagai NGO yang membela nasib peneroka yang dinafikan hak oleh Felda.

Ianya termasuk isu wang tanam semula yang dimenangi peneroka di Pahang dan Kelantan.

Tiada ulasan: