HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 November 2010

Warisan Merdeka: Najib sangkal andaian Mahathir

TERKINI

Najib Razak
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengetepikan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang Warisan Merdeka - menara 100 tingkat yang akan dibina di ibu negara, sambil menegaskan projek itu harus dinilai dari sudut jangka panjang. “Apa yang penting yang perlu diingat, ini adalah projek jangka panjang,” kata Najib selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Pelabur Menteri-menteri Kewangan Asean 2010 di sini hari ini.

“Ia tidak harus dilihat (sebagai projek) satu atau dua tahun. Ia projek 10 tahun dan (menjangkaui tempoh) selepas itu,” kata beliau.

Sambil sekali lagi menekankan bahawa projek itu sebagai inisiatif Permodalan Nasional Bhd (PNB), Najib mengesahkan Warisan Merdeka akan menerima lampu hijau kerajaan selagi ia berdaya maju secara komersial dan membawa peluang-peluang bisnes.

Semalam, Dr Mahathir memberi amaran Malaysia akan berhadapan dengan situasi bekalan hartanah berlebihan ekoran pembinaan Warisan Merdeka di ibu negara, yang akan mengatasi Menara Berkembar Petronas yang dibina ketika era kepimpinan bekas perdana menteri itu.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata negara mesti belajar daripada krisis kredit dialami Dubai ekoran bekalan hartanah berlebihan.

“Mereka boleh membina tetapi kemudian, bukannya sekarang,” kata Dr Mahathir.

Idea membina menara itu juga mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak.

Sebelum ini, Dr Mahathir ada memberitahu bahawa kerajaan seharusnya mendapatkan pandangan ramai sebelum meneruskan langkah membina menara paling tinggi itu, yang diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Bajet 2011.

Sayap pelaburan kerajaan PNB mempertahankan projek itu dengan berkata langkah itu tidak akan membabtikan dana pendeposit ataupun awam.

Najib berkata projek itu juga mesti menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih besar dalam bidang tertentu dan menyediakan peluang perniagaan.

“Projek itu mesti memenuhi keperluan itu dan jika syarat ini dipenuhi, ia boleh diteruskan.

“Ia mesti menyediakan dorongan dan pemangkin untuk Kuala Lumpur yang lebih luas,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, terpulang kepada PNB untuk membuat perkiraan kewangan.

Mengenai persepsi bahawa Warisan Merdeka akan menenggelamkan Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat, yang diilhamkan oleh Dr Mahathir, Najib berkata: “Ia merupakan kenyataan yang semberono.”

“Kita bercakap mengenai kesinambungan.

“Apa yang sudah dilakukan oleh Tun Mahathir disanjung tinggi, namun kita perlu meneruskan kejayaan beliau dan bergerak dan memajukan Malaysia,” kata Najib lagi.

“Jik anda lihat latar langit Kuala Lumpur pada 2020, ia tidak boleh sama seperti hari ini. Pudong di Shanghai mempunyai banyak bangunan pencakar langit. Pastinya lebih banyak lagi.

“Baik kita bayangkan Kuala Lumpur pada tahun 2020. Cuba lihat perspektif jangka panjang. Lebih-lebih lagi jika wawasan 2020 direalisasikan, ia merupakan wawasan yang diilhamkan sendiri oleh Tun Mahathir,” kata Najib.

18 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ada pihak yang bersetuju dan ada pihak yang tidak bersetuju dengan pembinaan menara tersebut.

Tanpa Nama berkata...

sebaiknya jika kajian yang teliti dibuat terlebih dahulu. ini bagi mengetahui kesan jangka panjang yang mungkin wujud. harap keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah yang terbaik untuk rakyat.

Tanpa Nama berkata...

pembinaan menara tersebut mendapat bantahan ramai pihak. sebaiknya perlu dpertimbangkan semula bagi memastikan ia benar2 releven untuk dibina pada masa kini.

Leo berkata...

Sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pembinaan warisan merdeka ini, kerajaan harus membuat kajian yang teliti. Pastikan majoriti rakyat setuju dengan projek tersebut.

Leo berkata...

Diharapkan Najib akan mengutamakan rakyat. I really don't see how this building will help in long term.

Leo berkata...

Apapun, saya percaya Najib akan membuat keputusan yang betul.

Bujang Senang berkata...

Tapi PM juga harus memikirkan masa sekarang ini. Apa yang terjadi dengan rakyat sekarang??? itu PM juga perlu ambil perhatian.

Hamdan Hadillah berkata...

Suara ramai mengatakan tidak kepada menara 100 tingkat itu. Jadi apa yang akan PM lakukan?Adakah akan meneruskannya atau akan mendengar suara rakyat. Apa pun kita tunggu apa keputusan yang akan PM berikan.

nickko berkata...

hari ini kita masih boleh menentang projek mega seperti ini, bila negara semakin pesat membangun dan bila tanah semakin terhad untuk tujuan pembangunan, rakyat akan terpaksa menerima bangunan pencakar langit seperti negara2 maju yang lain.

nickko berkata...

ini bukan pembaziran atau beban kepada negara sekiranya pembinaannya kelak mampu menjana ekonomi kepada rakyat dan negara. pembangkang sudah tentu mahu projek ini gagal kerana mereka tahu potensi projek tersebut mampu menarik sokongan rakyat kepada parti pemerintah. disebabkan mereka mahu menjaga kepentingan parti semata2, mereka sanggup mengabaikan pembangunan dan sanggup melihat pembangunan negara terus terbantut.

Anak Sabah berkata...

Diharapkan Najib akan membuat pertimbangan yang wajar sebelum meluluskan projek ini.

Anak Sabah berkata...

Kebanyakan rakyat juga tidak bersetuju dengan Warisan Merdeka ini. Diharapkan kerajaan akan mengambil berat dengan suara hati rakyat.

mandau berkata...

kerajaan kena pastikan pembinaan menara tersebut memberi faedah kepada seluruh rakyat.

Paquin berkata...

Mana2 lah... asalkan terbaik utk negara, saya sokong ja :)

Paquin berkata...

Apapun keputusan yang dibuat harus mengambil kira semua aspek bagi memastikan ketidakpuasan hati dikurangkan.

kb girl berkata...

terlalu ramai yang membantah pembinaan warisan merdeka, kerajaan perlu mempertimbangkan reaksi rakyat.

Unknown berkata...

Projek ini harus dikaji lebih terperinci kerana permintaan terhadap lot pejabat di ibukota jauh lebih rendah dari kadar pembinaan.

Antanum berkata...

Jika Najib tekad dan percaya akan projek tersebut mendatang pulangan yang memberansangkan di masa akan datang, maka percaya la dan berjalanlah bersama beliau untuk mencapai matlamat itu.