HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 November 2010

RM5 bilion mampu kurangkan kemalangan jalan raya

Harakahdaily

PARIT BUNTAR: Sekiranya sebanyak RM5 bilion diperuntukkan untuk membina menara 100 tingkat, kenapa kerajaan tidak mahu melakukan sesuatu yang seumpamanya bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan menyelamatkan nyawa rakyat.

Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim menyatakan demikian sebagai mengulas jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Dewan Rakyat bahawa sebanyak 81,733 kes kemalangan jalan raya melibatkan 1,174 kematian direkodkan semasa Ops Sikap sempena sambutan perayaan Aidilfitri dari tahun 2006 hingga September tahun ini.

Terdapat lima negeri yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu Selangor sebanyak 189 kematian, Johor (158 kematian), Perak (120 kematian), Pahang (108 kematian) dan Kedah (102 kematian).

Sehubungan, Khalil Idham berpendapat jumlah kemalangan tersebut adalah dalam jumlah yang membimbangkan dan serius serta perlu diambil tindakan segera untuk mengatasinya.

Katanya, satu kajian secara terperinci dan menyeluruh hendaklah dilakukan untuk mengenal pasti punca-punca permasalahan sebenar sehingga mengundang jumlah kemalangan yang besar itu.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berpandangan sesungguhnya pendidikan tentang pemanduan berhemah mestilah ditingkatkan dari masa ke semasa dengan program yang dilakukan secara bersepadu dan terancang termasuk dalam kaedah pemberian lesen memandu.

“Selain itu, saya cadangkan supaya sistem merit kepada pemegang lesen memandu disegerakan untuk memastikan mereka lebih bermoral dan berdisiplin semasa memandu,” ujarnya.

Tambahnya, peningkatan akhlak Islam dan moral yang tinggi secara umum tidak dinafikan boleh menyebabkan lahirnya pemandu yang berhemah serta mampu mengurangkan kadar kemalangan.

Menurutnya lagi, dengan mengambil faktor-faktor seperti keadaan jalan raya yang tidak kondusif, jumlah kenderaan yang semakin bertambah dan kecuaian pemandu sendiri, pihak kerajaan mestilah melakukan tidakan yang bersifat segera untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dari terlibat dalam kemalangan maut di masa akan datang.

Pihak kerajaan juga, ujarnya mesti memastikan keadaan kenderaan dan keperluan jalan raya yang lebih selamat supaya dipertingkatkan di masa akan datang sesuai dengan kemampuan kewangan kerajaan.

Tiada ulasan: