KUALA LUMPUR — Universiti Malaya (UM) menafikan khabar angin kononnya pihaknya sudah memutuskan untuk menutup Akademi Pengajian Islam cawangan Nilam Puri, Kelantan kononnya atas pertimbangan politik.
“Saya mengesahkan khabar berita itu tidak betul... memang tidak ada rancangan daripada mana-mana pihak untuk menutup (pusat asasi) Nilam Puri itu,” kata Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Islam UM (APIUM) Prof Madya Muhd Muhiden Abdul Rahman.
Muhiden bagaimanapun memberitahu bahawa universiti sedang mengambil langkah-langkah perlu untuk memendekkan tempoh pengajian di pusat asasi tersebut dari empat semester ke tiga semester.
Empat semester bersamaan dua tahun.
“Kemungkinan kekeliruan ini timbul kerana sekarang ini kita sedang membuat semakan kurikulum.
“Tempoh yang berjalan sekarang dua tahun atau empat semester, dalam semakan tersebut ada cadangan untuk memendekkan kepada satu semester menjadi tiga semester.
“Cadangan itu akan dilaksanakan pada 2012,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Akademi Pengajian Islam di Nilam Puri menyediakan kursus prapengajian Islam UM sejak 1981 hasil daripada pengambilalihan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan oleh pusat pengajian tinggi itu.
Program Asasi Pengajian Islam merupakan program persediaan bagi pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah, Usuluddin, Pendidikan Islam, dan Pengajian Islam dan Sains di kampus utama Akademi Pengajian Islam UM di Kuala Lumpur.
Timbalan Pengarah (Ijazah Tinggi) APIUM Prof Madya Dr Ishak Suliaman turut menafikan khabar penutupan APIUM cawangan Nilam Puri.
“Saya sendiri sebagai Timbalan Pengarah ingin berkata bahawa kami (APIUM Kuala Lumpur) tidak pernah menerima surat hitam putih daripada pentadbiran sendiri mengenai isu penutupan Nilam Puri.
“Saya pun ingin bertanya daripada mana khabar ini timbul kalau ada surat hitam putih,” kata Ishak kepada The Malaysian Insider.
Malah kata Ishak, isu perpindahan dari Nilam Puri ke Kuala Lumpur tidak pernah dibawa dalam mesyuarat pengurusan akademi itu sendiri.
“Rasmi itu memang tidak ada sepanjang saya menjadi Timbalan Pengarah dua tahun ini.
“Kalau penutupan Nilam Puri adalah isu politik, ia akan turun ke bawah dan kita sendiri tahu secara rasmi.
“Sebenarnya kami (pentadbir) di APIUM tidak mempunyai kuasa autoriti untuk menutup Nilam Puri, itu di bawah bidang kuasa Naib Canselor,” ujarnya lagi.
Pun begitu, The Malaysian Insider diberitahu ura-ura penutupan Nilam Puri ini sudah wujud sejak 2001 atas pertimbangan politik.
APIUM khususnya di Nilam Puri turut disifatkan sebagai “kilang pembangkang” oleh pusat sedekad lalu.
Pertubuhan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) yang dipimpin oleh mahasiswa-mahasiswa terbabit mulai dipantau di peringkat kampus dan nasional.
Ekoran itu, timbul ura-ura bahawa Menteri Pelajaran Tan Sri Musa Mohamad ketika itu bercadang mahu menutup pusat asasi agama dan bahasa Arab di negeri “serambi Makkah” tersebut walaupun dibantah beberapa kali oleh segelintir pensyarah serta mahasiswa aliran pengajian Islam sendiri.
Sehubungan itu, Presiden PMIUM Ahmad Syazwan Muhammad Hasan tidak menolak kemungkinan APIUM cawangan Nilam Puri mungkin mahu ditutup kembali atas pertimbangan politik.
“Berita ini (penutupan APIUM Nilam Puri) kita dapat tahu sejak awal semester iaitu Januari lalu lagi mungkin kerana rata-rata pemimpin pelajar dari sana apabila datang ke Kuala Lumpur menjadi pemimpin utama PMIUM.
“Tetapi di mana saja (bekas mahasiswa APIUM) mereka berada, sebenarnya mereka berperanan sebagai ejen ‘semak dan imbang’ kepada pentadbiran universiti sendiri, kerajaan Malaysia atau pembangkang.
“Justeru, kalau Nilam Puri ditutup, kemungkinan besar disebabkan faktor untuk membunuh (bakat) kepimpinan mahasiswa UM yang besarnya lahir dari Nilam Puri ini,” ujar Ahmad Shazwan.
Ahmad Syazwan berkata, pentadbiran universiti tidak wajar menyalahkannya jika beliau memandang negatif mengenai isu penutupan cawangan Nilam Puri tersebut.
Ini kerana katanya, pentadbiran APIUM sekarang dilaporkan tidak lagi mengambil calon mahasiswa dari Sabah dan Sarawak sekarang walaupun sebelum ini mereka berjanji bahawa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) secara khusus membuat pengambilan calon mahasiswa pengajian Islam dari kedua-dua negeri itu.
“Kita (PMIUM) belajar dari pengalaman lepas dahulu di mana pentadbiran UM pernah batal (pengambilan) satu kursus pelajar Borneo (Sabah dan Sarawak) untuk menyambung pelajaran di Akademi Pengajian Islam sendiri dengan dia (pentadbiran universiti) mengatakan yang pelajar-pelajar ini dipindahkan ke USIM.
“Tetapi apabila kita (PMIUM) semak balik, memang tidak ada pelajar Borneo terbabit dipindahkan ke USIM.
“Sekarang pun khabarnya mereka berjanji untuk memindahkan operasi dan silibus pengajian dari Nilam Puri ke tapak yang baru iaitu Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa di Petaling Jaya, saya bimbang tidak berlaku begitu seperti kes Borneo sebelum ini,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata PMIUM akan bertemu dengan Naib Canselor UM dan Pengarah APIUM Prof Dr Ahmad Hidayat Buang bagi mendapat kepastian berhubung status kampus Nilam Puri.
“Saya sendiri pernah jumpa Datuk Naib Canselor untuk tanya isu ini dan kita diberitahu bahawa Nilam Puri tidak akan dipindah, tetapi dalam dua minggu ini kita dengar yang sebaliknya.
“Insya-Allah, kita akan menyusun satu lagi perbincangan dalam masa terdekat dengan Naib Canselor dan Prof Hidayat sendiri untuk dapat kepastian,” kata Ahmad Syazwan.
Presiden Persatuan Mahasiswa APIUM, Mohd Syahid Mohd Zaini turut bersetuju dengan pandangan Ahmad Syazwan.
“Dari maklumat yang diperoleh daripada pensyarah pun, kebanyakan mereka tidak bersetuju jika Nilam Puri ditutup,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan