HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 September 2011

Bukit Kepong: Balu, isteri zahir Deklarasi Kuala Lumpur

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ─ Sekumpulan 56 balu dan isteri bekas polis serta tentera termasuk waris pejuang tragedi Bukit Kepong meluahkan rasa terkilan dengan kenyataan pihak tertentu yang menghina perjuangan pasukan keselamatan dalam mempertahankan tanah air.

Perasaan mereka dizahirkan dalam ‘Deklarasi Kuala Lumpur’ yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak esok.

Deklarasi itu berbunyi: “Bahawa kami mewakili balu dan isteri bekas polis dan tentera, pada 24 September 2011, dengan ini merasa amat terguris dan membantah perbuatan dan perkataan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis bertujuan menghina para pejuang yang mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta”.

Ia dibaca oleh mereka sebelum diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan pada Majlis Transformasi Minda Pejuang, Mengenang Jasa Pahlawan Negara di sini semalam.

“Deklarasi Kuala Lumpur yang dibacakan di hadapan saya hari ini merupakan luahan rasa terkilan balu serta isteri pejuang negara yang bertempur dengan komunis ketika zaman darurat,” kata Ahmad Maslan kepada pemberita.

Turut hadir pada majlis itu Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Shafie Bakri, Presiden Persatuan Veteren Tentera Melayu Mohd Ali Baharom serta rombongan seramai 30 bekas polis ‘homeguard’ dari Sabak Bernam yang bertugas ketika zaman darurat.

Sementara itu, Shafie mencadangkan supaya bekas polis yang bertugas ketika zaman darurat diberi pencen bulanan, anugerah tertentu selain kebajikan keluarga mereka diberi perhatian.

Tiada ulasan: