HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 September 2011

Generasi kedua gesa Putrajaya senarai lebih banyak syarikat Felda

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ─ Kejayaan penyenaraian anak syarikat Felda yang berkecimpung dalam industri gula, MSM Holdings, telah mendorong beberapa pihak menyeru kerajaan turut menyenaraikan anak-anak syarikat Felda yang lain di Bursa Saham.

Mereka berpendapat bahawa ia juga akan turut meningkatkan pendapatan peneroka lembaga itu dengan lebih ketara dan meningkat taraf ekonomi mereka melalui pemilikan saham.

“Penyenaraian itu bukan saja akan memberi manfaat kepada 112,635 peneroka, tetapi juga kepada 1.8 juta warga Felda, termasuk keluarga peneroka,” kata Ahli Panel Gabungan Pemikir Profesional (Gaprof Anak Felda) Datuk Khairil Anuar Aziz.

“Kami ingin melihat bahawa saham-saham yang akan dikeluarkan diberikan secara terus kepada komuniti Felda di semua peringkat, sama ada di dalam, di luar negara, di tanah rancangan di semua gugusan,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Pendapatan lebihan yang diperolehi dari keuntungan saham tersebut boleh digunakan oleh keluarga dan peneroka untuk dilaburkan dalam Koperasi Permodalan Felda, Amanah Saham Nasional, Tabung Haji serta produk pelaburan yang lain.

Gaprof adalah kumpulan pemikir atau “think tank” secara sukarela di bawah Felda Seranta di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang terdiri daripada generasi kedua peneroka Felda.

Ia ditubuhkan untuk memberi ruang kepada anak-anak peneroka bersama-sama membantu menyumbangkan saranan kepada pengurusan Felda dan kerajaan dalam mengisi kematangan Felda terutama dalam peningkatan kualiti sosial dan pengkayaan sumber ekonomi.

Beberapa pihak juga mencadangkan supaya Felda menyenaraikan unit-unit minyak sawitnya, yang akan membolehkan lembaga itu merealisasikan potensi komersil sebenarnya sebagai syarikat awam.

“Secara umumnya, syarikat berasaskan sawit mempunyai kedudukan yang terbaik untuk disenaraikan. Walau pun syarikat gula Felda tidak besar tetapi apabila disenaraikan nilainya meningkat.

“Jika syarikat berkaitan sawit disenaraikan, pasti akan memberi peluang peningkatan berlipat ganda kerana pasaran untuk berkembang begitu besar di dalam dan di luar negara,” kata Khairil Anuar, yang merupakan generasi kedua Felda ini.

MSM Holdings disenaraikan di Bursa pada Jun 28 lalu pada harga RM4.45 iaitu dengan premium 95 sen berbanding harga institusi RM3.50. Harga runcit saham dalam IPO ialah RM3.38. Harga saham syarikat itu kini naik hampir dua kali ganda.

Beliau berkata bahawa masa menyenaraikan unit Felda adalah tepat memandangkan harga minyak sawit kini berada pada tahap yang tinggi dan ini akan memberikan mereka pemilikan saham dalam satu sektor yang berpotensi dan berpendapatan tinggi.

“Permintaan bagi minyak sawit sentiasa agak stabil ketika ekonomi dalam keadaan baik atau pun kurang baik. Kami melihat ia merupakan satu peluang yang baik di mana industri ini kita boleh kekal dan dilestarikan,” katanya.

Menurut pasaran, harga minyak sawit mentah dijangka stabil dan akan berada pada purata RM3,100 setan metrik bagi sepanjang tahun ini.

Sehubungan itu nilai eksport sawit berdasarkan perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia pula dijangka mencecah RM80 bilion pada tahun ini, melepasi paras tertinggi 2008 iaitu sekitar RM65 bilion.

Khairil Anuar juga berkata bahawa penyenaraian akan menjana lebih banyak pendapatan melalui peningkatan keberkesanan kerana syarikat awam akan beroperasi dengan lebih telus serta diwajibkan mematuhi peraturan kawal atur korporat.

Selepas lebih 50 tahun, sudah tiba masa bagi Felda untuk mejalani fasa transformasi yang selanjutnya, iaitu penyenaraian, yang akan memberi lebih nilai tambah dan keuntungan kepada agensi pembangunan tanah berkelompok itu.

Penyenaraian akan juga menunjukkan pembangunan Felda serta peningkatan pendapatan dan taraf hidup peneroka di mana ibu-bapa mereka hanya mendapat RM2.90 sehari pada 1967 dan lebih RM4,000 sebulan sekarang, katanya.

Ditanya bila penyenaraian anak syarikat Felda harus dilakukan, Khairil Anuar berkata, “tentulah kita mahu ia disegerakan tetapi satu penelitian yang mendalam harus dibuat sebelum membuat keputusan mana-mana syarikat yang akan disenarai.”

“Kita tidak mahu setahun dua disenaraikan, kita tidak dapat nilai yang kita hajatkan. Kita mesti pilih dengan betul. Biar ia tidak berapa banyak syarikat dan tidak sedikit tetapi ia memberi nilai. Kualiti lebih penting tetapi kita mesti buat sesuatu,” katanya.

Beliau tidak menolak penyenaraian anak syarikat Felda akan memberi pulangan lebih 10 peratus seperti yang dinikmati oleh keluarga tentera di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Katanya, Felda perlu melabur dan mengembangkan operasinya kerana persaingan semakin sengit yang datang dari dalam dan luar negara.

“Kita bersaing dengan Kumpulan Sime Darby, Kuala Lumpur Kepong, Kumpulan IOI dan Sabah Sawit malah negara luar seperti China yang sedang meluaskan penanaman sawitnya di Indonesia.

“Jika Felda tidak mahu mengembangkan perniagaannya dalam apa jua bentuk, saiznya yang besar ketika ini akan menjadi kecil pada satu dekad akan datang,” kata beliau.

Felda, yang merupakan pemilik ladang terbesar di negara ini, memiliki tanah seluas lebih 800,000 hektar melalui Felda Global Ventures dan Felda Holdings.

Tiada ulasan: