HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 September 2011

Hanya ISA termansuh, AUKU dan akta drakonian lain masih kekal

Oleh BOESTAMAM SARI


BEBERAPA anak muda melonjak kegirangan ketika mendengar sandiwara Najib Razak bahawa ISA akan dimansuh. Helah begini setaraf dengan helah Muhyiddin bahawa PPSMI akan dimansuh, walhal dasar tersebut masih wujud sehingga kini dan ‘ditunda pemansuhannya’ entah bila.

“Perjuangan kita sudah mulai menampakkan hasilnya,” kata seorang teman, “Najib dah mansuh ISA!”

Ya, sebenarnya, ada banyak sandiwara mutakhir ini. Ramai orang gembira terhadap sikap positif Najib Razak yang kononnya akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Semak sekali lagi. Dia jujurkah ketika mahu berhasrat memansuhkan ISA itu? Apa motifnya dengan mendadak tiba-tiba ini?

Jangan tolak kemungkinan bahawa ini juga menunjukkan tanda bahawa gejala pilihan raya ini semakin dekat. Apakah Najib mahu memujuk hati rakyat agar terbuai dan terleka buat sementara waktu?

Apa pun yang berlaku, Najib Razak mestilah membina perawakan bersih dengan melakukan apa sahaja bertujuan mengelirukan rakyat. Ini perlu disusun sedikit demi sedikit. Untuk mereka yang celik sejarah ini, maka sikap memansuhkan ISA menjelang pilihan raya adalah lambang ketidakjujuran Najib juga.

ISA mempunyai sejarah yang panjang dalam memerangkap para pejuang kemerdekaan. Para pejuang berhaluan kiri inilah yang kerap diintai dan diintip oleh penjajah British termasuk Onn Jaafar sendiri.

Untuk anak-anak muda baru lepasan universiti tadi yang masih hidup dibelenggu AUKU, jangan terlalu melulu memuji Najib Razak yang memansuhkan AUKU.

Najib Razak tidak mansuhkan AUKU. Tidak ada protes jalanan besar-besaran untuk memansuhkan AUKU seperti GMI (Gerakan Mansuhkan ISA).

Belum ada bantahan besarbesaran di jalan raya bagi memansuhkan akta mesin cetak dan penerbitan. Jadi, jika Najib hanya mansuhkan ISA, maka itu perkara biasa, sebab Najib pernah terserempak dengan bingitnya deruan kata yang terlahir di jalanan berhubung protes ISA tersebut.

Anak-anak muda di universiti ini harus ingat bahawa AUKU belum mansuh. Akta Mesin Cetak masihlah berkuasa dengan lesen permit penerbitan yang mengikat kuat editor dan wartawannya daripada terus berbicara secara terbuka. Setidak-tidaknya, kita perlu berjuang memerdekakan universiti dari penjara ketakutan sekali gus memerdekakan wartawan dan editor yang masih diselubungi kerisauan.

Umno sebagai warisan British dan Najib selaku ejen Israel APCO tentunya sudah mengkaji aliran corak fikiran rakyat pada hari ini.

ISA bukanlah undang-undang baru. British ingin memerangkap Melayu Kiri dengan ISA ini tapi hal ini sering kita lihat sebagai usaha British menawan komunis.

British pada zaman lalu dan Najib pada masa sekarang sangat menyedari bahawa gerakan berhaluan kiri pada zaman dulu dan kini memang telah mendapat sokongan rakyat.

Hartal pada tahun 1947 misalnya lambang sokongan rakyat. Begitu juga dengan gerakan kiri GMP, GMI dan Bersih yang disusun rakyat hari ini. Tenaga rakyat ini tidak boleh diatasi oleh Patriot dan Perkasa.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ketika menyentuh kekuatan gerakan berhaluan kiri ini, berkata, “Kalau British telah mengadakan referendum (sebelum memberi kemerdekaan) antara Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman dan, saya fikir rakyat pilih Burhanuddin.”

Begitu kata beliau dalam forum Mat Indera - Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini. Memang mood rakyat pada saat itu lebih memilih sosok Dr Burhanuddin Al-Hulaimy dibanding Tunku Abdul Rahman sendiri.

Entah berapa ramai anak muda yang sedar bahawa British akhirnya berpakat dengan elit Melayu, lalu menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. British tidak menerima desakan Putera AMCJA yang didukung oleh rakyat, sekali gus mereka menolak Perlembagaan Rakyat itu.

MalayanUnion akhirnya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Selepas pembentukan Umno, Putera AMCJA dan seluruh anggota gabungannya diharamkan pada 18 Jun 1948 oleh penjajah British dengan persetujuan Yang Dipertua Umno, Dato’ Onn Jaafar.

Demikianlah British mengisytiharkan Darurat pada 1948, dengan alasan melawan gerakan komunis di Malaya dengan menahan mereka tanpa perbicaraan yang kemudian disebut sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ya, ketika riuh-rendah penangkapan besar-besaran ini dilakukan, maka saat inilah Mat Indera berjuang di hutan ketika ramai pimpinan atasannya sudah ditahan di bawah ISA.

Dan, hari ini Najib Razak seolah-olah mahu dlihat menjadi juara dengan ‘akan’ memansuhkan ISA itu. Jangan ada kalangan pemuda yang berterima kasih langsung kepada Najib atas ‘jasa’nya, sebaliknya hiduplah seperti biasa. Jangan berterima kasih kepada insan jahat yang melonggarkan ikatan jahatnya.

Buya Hamka, sekali peristiwa bercerita kepada anaknya, “Kalau bapak tidak ditahan di dalam penjara, maka mustahil bapak dapat menyudahkan Tafsir Al-Azhar ini.”

Jawab si anak, “Maka, berterima kasihlah kepada mereka yang telah menahan ayah itu...” Lalu, dijawab Hamka,

“Tidak nak, bapak tidak mahu berterima kasih. Setinggi-tinggi ucapan bapak ke atas mereka itu hanyalah ucapan maaf bapak ke atas mereka sahaja...” Jadi, jangan gembira sangat dengan pemansuhan ISA ini. Lihat dahulu, adakah akta drakonian lainnya, seperti AUKU, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan lain-lainnya sudah terbatal dan mansuh?

Tiada ulasan: