HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 September 2011

JWW Birch dibunuh kerana ganggu wanita istana

Subky Abdul Latif


ISU Mat Sabu tentang Bukit Kepong dan Mat Indera telah dibawa ke mahkamah. Biarlah mahkamah menyelesaikannya. Tetapi isu supaya sejarah dinilai dan ditulis semula telah memungkin ada pakar sejarah terpaksa belajar semula.

Sedikit demi sedikit bertambah hujah yang merasakan boleh dibetulkan. Jika ada hadis sahih dan hadis palsu, maka sejarah juga ada yang sahih dan palsu. Itulah keadaan sejarah kita termasuk ia pernah dijajah atau tidak pernah dijajah Inggeris.

Saya ke Perak ketika isu sejarah itu panas dipolemik.

Seorang watan Perak yang saya tidak kenali mengetuk jemala kepala saya kemungkinan JWW Birch yang dibunuh di sungai di Pasir Salak lebih 200 tahun dulu bukanlah justeru campur tangannya dalam pentadbiran dan kuasa Sultan Perak saja, tetapi bercampur sama dengan percampuran bersama wanita-wanita di istana.

Kita tidak cukup maklumat adakah pelayar-pelayar Inggeris yang mula-mula datang ke Tanah Melayu dulu khususnya yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor bersama pembesar-pembesar Perak membawa isteri masing-masing.

Yang datang untuk menetap beberapa ketika kerana bertugas, ada yang datang dengan isteri. Maka tidak diketahui Penasihat Inggeris yang pertama di negeri Perak itu diikuti oleh isterinya.

Memandangkan jantan-jantan Eropah sentiasa biang, tak kira ada isteri atau tidak, maka bukanlah pelik kiranya Birch adalah laki-laki mata keranjang. Maka kita juga faham tentang adanya raja-raja dan anak-anak raja ada gundik walau pun ada permaisuri.

Biasalah antara wanita yang menghuni istana itu gundik-gundik.

Birch yang jadi Residen Inggeris Perak yang pertama itu dilihat lebih berkuasa dari Sultan dan sekalian pembesar. Inggeris berkuasa menurunkan Sultan yang bertakhta dan mengangkat seorang Sultan baru. Kalau Birch boleh buang raja dan menggantikannya dengan raja yang baru, maka dia dilihat lebih berkuasa dari raja termasuk raja yang baru ditakhtakannya.

Dari sejarah yang ada bahawa pembunuhan Brich itu adalah campur tangannya yang besar hingga tiada apa yang tinggal lagi kepada raja selain dari urusan agama Islam dan adat istiadat.

Keadaan itu adalah tidak biasa bagi mana raja-raja di negara merdeka, orang asing merampas segala kuasanya. Jika sebelum itu raja-raja boleh membunuh sesiapa, maka tiada yang pelik jika raja terlibat membunuh Birch.

Tetapi cerita yang saya dengan di Perak itu, memberikan gambaran baru bahawa Birch itu bukan sekadar dimusnah kerana mengganggu kemerdekaan dan kedaulatan raja dan bangsa Perak, tetapi kerana perangai buruknya tidak boleh tengok perempuan.

Dari cerita orang itu, payahlah gundik-gundik yang dijumpainya terlepas dari menjadi mangsanya.

Memandangkan ia adalah perangai kebanyakan orang Eropah, maka saya mudah terima keterangannya walau pun saya tidak melihatnya dan tidak dapat membawakan empat saksi.

Ia bukan saja satu curang yang dimarahi oleh raja dan pembesar, orang Melayu yang miskin dan lumpuh pun marah.

Bagi orang Melayu baik dulu dan sekarang, orang macam itu dan dengan perbuatan macam itu patut dibunuh. Apa lagilah bagi masyarakat Melayu masa itu. Cara mana ia dibunuh tidak penting tetapi ia melayakkan dibunuh.

Bagi orang Melayu masa itu, tidak perlu adalah perbicaraan yang teratur. Sekadar tahu ada seseorang mencabul seorang wanita, maka warasnya akan bertindak membunuhnya.

Tidak kira raja cemburu dengan perangai buruk Birch itu tetapi kejadian seperti itu memang dibenci oleh orang Melayu. Itulah sebabnya ada kisah almarhum mangkat dijulang, orang tidak redha atas kezaliman sekali pun dilakukan oleh seorang raja.

Sebagai bukan ahli sejarah, saya serahkan cerita ini kepada ahli sejarah, apakah tidak boleh cerita itu dikaji bagi dirakamkan dalam sejarah?

Tiada ulasan: