HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 September 2011

Malaysia Sudah Terlambat Untuk Transformasi Politik-SMM

Oleh Naeem Raffi


PETALING JAYA : Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menggesa tampuk pemerintahan negara agar melaksanakan dasar pengurusan yang baik selepas meraih kemenangan pada pilihan raya umum akan datang dan yakin ia hanya mampu dilakukan dengan barisan kepimpinan yang baru.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Che Abd Razab berkata, untuk negara yang telah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lamanya, transformasi politik yang ingin dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah tidak relevan lagi.

"Mesej jelas daripada mahasiswa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membicarakan soal transformasi politik, minta maaf jika kita katakan bahawa mahasiswa lebih percaya pada satu konsep yang lebih jelas iaitu 'Reformasi Politik' keberadaan tampuk pemerintahan selama 54 tahun, bagi kami bukan satu tempoh masa yang kita boleh terima lagi untuk laksana Transformasi Politik, jika mahu laksana sekalipun biarlah tampuk pemerintahan yang baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas penangguhan Kongres Mahasiswa Nasional 3.0 di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya hari ini.

SMM dengan dasar penubuhannya memperjuangkan nasib para mahasiswa di Malaysia, ditubuh sejak 2005 hasil dari penggabungan enam kesatuan pelajar kini telah berkembang kepada 11 kesatuan dan bergerak aktif dengan keahlian lebih 5000 ahli.

Kongres kali ke tiga yang berlangsung selama dua hari ini berjaya menarik lebih 500 aktivis mahasiswa daripada seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Menyedari peranan mahasiswa sebagai sebahagian daripada instrumen terpenting dalam mencorakkan negara kini dan akan datang terhadap beberapa kebejatan dan ketirisan yang sedang berlaku di Malaysia, SMM telah mengariskan lima deklarasi bagi tahun ini :-

Politik (Reformasi politik)
Ekonomi (Ekonomi Saku Rakyat)
Sosiobudaya (Keserataan Hak Bangsa)
Pendidikan (Mengembalikan Nilai Pendidikan)
Kewanitaan (Pedulikan Hak Wanita)

Dengan menggelarkan mahasiswa sebagai "pengkrtitik tetap kerajaan", Ahmad Syukri menjelaskan kesempatan penganjuran kongres ini digunakan sebaik mungkin bagi
menonjolkan idea serta kritikan terhadap beberapa sektor yang dilihat penting ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih sejahtera dengan benih demokrasi yang sihat.

"Biarpun Malaysia bakal ditadbir tanpa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kita tidak yakin dengan pemerintah yang menggunakan ISA secara kejam, mampu mentadbir Malaysia tanpa ISA, kita rasa adalah lebih lunak sekiranya Malaysia tanpa ISA ini ditadbir oleh pemerintah yang baru.

"ISA hanya mahu menjawab tekanan dari pembangkang,"tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri menegaskan bahawa SMM juga menuntut kerajaan mengamalkan satu dasar ekonomi yang bersifat 'saku rakyat' dan bukannya hanya mengumumkan projek-projek mega yang tidak memberi faedah kepada rakyat.

"Mahasiswa juga hilang percaya kepada projek-projek mega yang selama ini terus membenam rakyat dengan poket yang kosong, rakyat masih tandus dengan garis gaji minima RM750 sebluan di bandar-bandar besar, pengangkutan rakyat masih tidak cekap, pendidikan percuma masih lagi gagal dilaksana sedangkan negara maju telah laksanakannya, kerajaan masih dengan pengumuman projek mega mereka, untuk apa projek ini kalau rakyat masih berpoket kosong,"katanya lagi.

Selain menggesa kerajaan menstrukturkan semula gaji dengan pengenalan gaji minima terhadap penjawat awam dan swasta dengan pengenalan Akta Gaji Minimum, SMM juga menggesa kerajaan menumpukan perhatian terhadap masalah rasuah dan ketirisan yang akan melumpuhkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Tiada ulasan: