KUALA LUMPUR — Majikan sektor swasta boleh menggaji seseorang sehingga umur 70 tahun jika pekerja terbabit memenuhi keperluan organisasi masing-masing walaupun undang-undang baru, yang sedang digubal bakal menetapkan had persaraan mandatori 60 tahun, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).
Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan berkata, undang-undang baru itu menetapkan umur persaraan mandatori 60 tahun berbanding 55 tahun sekarang tetapi pekerja-pekerja yang diperlukan boleh berkhidmat selagi berupaya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mengikut kontrak perkhidmatan.
“Undang-undang baru ini hanya menyediakan had mandatori bersara 60 tahun, tetapi jika ada yang boleh bekerja sehingga 65 atau 70 tahun, masih boleh... bersandarkan kesediaan dan keperluan pekerja dan majikan masing-masing,” kata Shamsuddin kepada The Malaysian Insider hari ini.
Katanya, MEF menyambut baik langkah memperkenalkan undang-undang baru — yang bakal dikenali sebagai akta umur persaraan sektor swasta kerana sesuai dengan perkembangan semasa.
“Kebanyakan negara di rantau ini sudah pun melakanakan dasar umur persaraan 60 tahun dan ke atas, jadi kita juga harus menaikkan had usia bersara,” kata beliau yang turut merujuk kepada jangka hayat rakyat negara ini juga meningkat ekoran kemajuan bidang sosioekonomi.
“Umur persaraan sektor swasta sekarang ini digunakan sejak sebelum negara merdeka. Ketika negara merdeka jangka hayat rakyat sekitar 50 tahun, tetapi sekarang sudah mencecah 73, 74 tahun.
“Jadi kita perlu menggunakan tenaga kerja yang berpengalaman. Kita perlu ada dasar baru, undang-undang ini ke arah itu. MEF mengalu-alukan,” kata Shamsuddin lagi.
Difahamkan jumlah pekerja yang dibenar terus bekerja sehinga 65 atau 70 tahun tidak ramai.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga berharap kerajaan akan melanjutkan umur persaraan pekerja sektor swasta kepada sekurang-kurangnya 60 tahun daripada 55 tahun sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Azlan Zainol berkata tindakan melanjutkan umur persaraan itu diharap diumumkan pada pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini.
Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa kerajaan sedang menggubal satu undang-undang baru khusus bagi menaikkan umur persaraan pekerja sektor swasta sehingga 64 tahun dengan had bersara mandatori 60 tahun.
Di bawah undang-undang baru yang bakal dinamakan sebagai akta umur persaraan sektor swasta, seseorang pekerja hanya akan bersara apabila mencapai usia 60 tahun, dan jika khidmatnya masih diperlukan, pekerja terbabit boleh dilanjutkan khidmat mereka selama empat tahun lagi.
“Bermakna usia persaraan akan dilanjutkan daripada 55 tahun pada masa sekarang kepada 60 tahun dan seseorang pekerja masih berupaya dan diperlukan, dia boleh terus bekerja selama empat tahun lagi,” kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor kepada The Malaysian Insider semalam.
The Malaysian Insider difahamkan perubahan itu akan membawa pindaan ke atas Akta Kerja dan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Jika perubahan itu menjadi kenyataan ia akan memanfaatkan hampir enam juta pekerja.
The Malaysian Insider juga difahamkan kesemua pihak berkepentingan telah melahirkan persetujuan ke atas undang-undang baru ini kecuali satu wakil majikan.
Sebelum ini, MTUC telah menggesa kerajaan supaya melanjutkan umur persaraan bagi sektor swasta kepada 60 tahun sebagai langkah untuk menggunakan dengan optimum tenaga kerja negara ini.
Sektor swasta mengikut umur persaraan sektor awam sebelum ini iaitu 55 tahun kerana tidak ada undang-undang yang mensyaratkan sektor swasta menetapkan had umur persaraan.
Justeru, MTUC telah mencadangkan supaya kerajaan meminda Akta Kerja 1955 supaya memasukkan umur persaraan mandatori 60 tahun.
Kerajaan telah meningkatkan umur persaraan sektor awam kepada 58 tahun tetapi sektor swasta masih lagi pada umur 55 tahun.
Badan induk kesatuan sekerja itu merasakan bahawa majoriti pekerja yang berumur 55 tahun masih sihat dan bolehmenyumbang melalui kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki.
Shamsuddin juga bersetuju bahawa penggubalan undang-undang baru juga memerlukan pindaan ke atas Akta KWSP dan Akta Pertubuhan Sosial (Perkeso).
“Ia berkaitan dengan caruman ke dalam KWSP dan Perkeso, dan perlindungan oleh kedua-dua badan berkanun ini,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan