HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Disember 2011

PAS: Pekerja bukan hamba abdi

Pergerakan Pemuda mendesak kerajaan jaga kepentingan golongan itu



PETALING JAYA: PAS berkata pekerja bukan hamba abdi dan mendesak kerajaan bertanggungjawab memberi kebajikan kepada mereka.
Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan berkata kerajaan mesti memberikan jaminan perlindungan pekerjaan, hak kebajikan, hak berpersatuan, gaji minimum dan lain – lain tanpa sebarang diskriminasi antara pekerja tetap atau kontrak.

Katanya, menafikan hak dan meletakkan mereka setaraf buruh asing adalah satu bentuk penindasan yang tidak sewajarnya berlaku di negara ini.

“Pekerja bukan hamba abdi yang diperah kudrat mereka dan ditindas dengan pelbagai akta yang tidak memihak serta memelihara kepentingan mereka.

“Pekerja adalah aset negara dan mereka juga merupakan dinamo kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan tidak boleh melayan warga pekerja seperti melayan warga kelas kedua berbanding warga korporat yang juga tidak dinafi memberi sumbangan besar kepada lonjakan ekonomi negara,” katanya.

Bukan mahu dimanja

Menurut Nasrudin setelah mengerah keringat yang menitis sampai ke tumit, wajarnya warga pekerja dijaga dan ditunaikan hak mereka selayaknya.

Beliau pasti, mereka bukan menuntut suatu yang melebihi kewajaran dan hak yang sepatutnya mereka miliki.

“Mereka juga bukan menuntut agar dimanjakan oleh kerajaan. Sebaliknya mereka mahu hak mereka dihormati dan dihargai oleh kerajaan setelah mereka mengerahkan tulang empat kerat mereka untuk masa depan negara.

“Kerajaan mesti bersikap terbuka dan sedia mendengar setiap masalah berbangkit daripada rakyat termasuk warga pekerja.

“Kedegilan kerajaan untuk tidak mendengar suara hati warga pekerja akan mengundang masalah besar kepada negara dan tidak keterlaluan jika saya menyebut bahawa ia juga berpotensi merencatkan kitaran sihat ekonomi negara menuju kestabilan yang diharapkan,” tambah ketua Pemuda PAS itu.

Tiada ulasan: