Selain golongan dewasa, tanpa sedar kanakkanak turut tidak terlepas memperkatakan isu politik, namun dengan cara mereka tersendiri.
Situasi ini memperlihatkan kanak-kanak di Malaysia pada hari ini lebih bijak.
“Kanak-kanak ini dilihat lebih bijak atau celik dalam memperkatakan soal politik kerana persekitaran menjadi faktor penyumbang utama,” kata Pensyarah Psikologi Kanak-kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Khaidzir Ismail.
Beliau berkata, dari sudut psikologi, tujuh hingga 12 tahun usia peringkat kanak-kanak dan mempunyai pemikiran belum matang dalam membuat pilihan meskipun mereka pandai mengeluarkan pandangan.
“Kerana itu, mereka mudah terikut dan meniru apa dilakukan ibu bapa atau orang dewasa. Sekiranya, dalam keluarga sering membincangkan hal politik maka secara tidak langsung turut mempengaruhi pandangan mereka.
“Mereka mengeluarkan pandangan berdasarkan apa didengar dan dilihat hari-hari, tetapi mereka tidak faham. Keadaan ini boleh diibaratkan seperti burung kakak tua, pandai sebut tapi tak faham maksud,” katanya.
Khaidzir berkata, golongan ini tidak sesuai dikatakan sebagai bijak politik, tetapi boleh diandaikan sebagai boleh bercakap tentang politik kerana didedah lebih awal berbeza jika dibandingkan kanak-kanak 30 tahun lalu.
“Persekitaran menjadikan mereka celik bercakap soal politik. Pendedahan media massa yang kerap, ditambah pula sikap segelintir ibu bapa dan orang dewasa yang membincangkan mengenai keadaan semasa politik negara secara terbuka sebenarnya mendorong kanak-kanak ini mendapat maklumat,” katanya.
Menyentuh mengenai sikap sesetengah ibu bapa dan golongan dewasa yang mendedahkan kanak-kanak kepada keadaan semasa politik negara, Khaidzir berkata, pendedahan itu ada baik dan buruknya.
“Kanak-kanak perlu didedahkan dengan perkembangan semasa negara. Mereka mempunyai hak untuk tahu agar dapat membentuk semangat cinta negara. Tetapi, tidak adil jika mereka dipengaruhi dengan apa yang ibu bapa atau golongan dewasa tersebut percaya.
“Jika ibu bapa itu sokong parti A dan tidak menyukai parti B atau suka pemimpin ini tidak suka pemimpin itu, janganlah mereka pengaruhi pemikiran anak-anak agar mempercayai atau menerima pandangan mereka itu sebagai betul.
Ini tidak adil kepada kanak-kanak.
“Apa sepatutnya berlaku, ibu bapa perlu dedahkan kanak-kanak dengan memberitahu secara berhemah. Kanak-kanak perlu diberi pendedahan bukannya memasukkan (impose).
Sekiranya keadaan memasukkan itu berlaku, ia tidak adil kepada kanak-kanak itu,” tegasnya. Katanya, kanak-kanak perlu diberi pendedahan supaya cepat matang.
“Jika diberi pendedahan, ia dijadikan panduan. Jadi, beri pendedahan dan bukan memasukkan (kepercayaan tentang politik),” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan