HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mei 2012

Panel siasatan “bebas”: Hanif bersekongkol dengan BN?

Roketkini.com
KUALA LUMPUR.: Siasatan yang adil, saksama dan komprehensif terhadap insiden keganasan sewaktu perhimpunan aman BERSIH 3.0 pada 28 April lalu hanya berwibawa jika kerajaan persekutuan memberi sokongan padu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), dan bukannya kepada panel siasatan “bebas” yang dipimpin oleh bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar.

Ia berikutan dakwaan-dakwaan negatif Hanif terhadap perhimpunan BERSIH 3.0 termasuk menuduh kononnya ia didalangi oleh komunis serta pandangan beliau yang menyokong dakwaan Datuk Seri Najib Razak kononnya BERSIH 3.0 mahu menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, satu sidang akhbar untuk mengumumkan tentang panel siasatan “bebas” itu telah dibatalkan dan hanya digantikan dengan satu kenyataan akhbar telah membuktikan bahawa Hanif sedar yang rakyat tidak yakin panel tersebut boleh bertindak secara bebas, adil dan saksama.

“Jika sekiranya tidak ada bukti ke atas tuduhan yang dilakukan, adakah Hanif bersedia untuk mengaku kepada orang ramai bahawa beliau dan Perdana Menteri telah membuat pertuduhan yang silap ke atas perhimpunan BERSIH 3.0?

“Hanif sendiri telah memainkan peranan penting dalam kempen jahat ini sejak mula lagi apabila beliau menyokong secara membuta tuli dakwaan liar Perdana Menteri yang menuduh bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah cubaan rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, adalah luar biasa apabila bekas Ketua Polis Negara itu berkeras untuk mempengerusikan panel siasatan “bebas” kerana sepatutnya beliau dan ahli-ahli panel yang lain patut mengundur diri beikutan sikap Hanif yang sudah awal-awal lagi berpihak kepada kerajaan Barisan Nasional.

“Kabinet patut membatalkan panel ini dan memberikan sokongan penuh kepada Suhakam untuk menyiasat pencabulan hak asasi manusia dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April,” tambah beliau. Sejak bulan lalu, kerajaan BN telah melancarkan kempen jahat dengan memburuk-burukkan BERSIH 3.0 dn Pakatan Rakyat di mana panel siasatan pimpinan Hanif dilihat sebagai sebahagian dari kempen jahat ini.

Lebih parah lagi Hanif mendakwa telah mengenal pasti individu-individu yang didakwanya pro-komunis dalam perhimpunan BERSIH 3.0 dengan menuduh bahawa kanak-kanak dan provokator yang digunakan dalam perhimpunan tersebut adalah “taktik komunis”.

“Jika Hanif masih tidak mahu menarik balik kenyataan prasangka mengenai BERSIH 3.0, beliau haruslah mengambil tempat sebagai “saksi utama” di hadapan mana-mana penyiasatan BERSIH untuk memberi justifikasi pendirian beliau dan bukan mempengerusikan panel tersebut untuk menyiasat apa yang benar-benar telah berlaku di BERSIH 3.0,” kata Kit Siang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad pula telah mengambil alih kempen jahat dengan tuduhan kononnya perhimpunan BERSIH 3.0 ialah ‘persediaan’  dan ‘latihan’ Pakatan Rakyat untuk menolak keputusan pilihan raya umum ke 13 sekiranya gagal untuk menang.

Para pemimpin dan bekas pemimpin UMNO-BN serta penyokong mereka semakin bimbang dengan arus perubahan di kalangan rakyat yang semakin cenderung untuk menyokong Pakatan dalam PRU akan datang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: