HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mei 2012

Bekas pemimpin PKR Zahrain mahu SPRM buka semula kes Azmin

Nurul Aini Mohamed Ali

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim
 
Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim
 
 
PETALING JAYA - Bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Zahrain Hashim mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kes rasuah jutaan ringgit, yang disiasat 17 tahun lalu, melibatkan Azmin Ali.

Azmin, Timbalan Presiden PKR, hari ini menyifatkan dakwaan laporan portal Malaysia Today, kendalian Raja Petra Raja Kamarudin bahawa Ketua Pembangkang,  Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar kes rasuah jutaan ringgit membabitkan beliau ditutup ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, sebagai tidak berasas.

"Saya mendesak agar SPRM mengkaji semula dan menyelidik semua bukti yang berkaitan berhubung kes rasuah ini," kata beliau pada sidang media, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, ini jelas menunjukkan yang Anwar satu masa dahulu menyalah guna kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila sewenang-wenangnya mengarahkan kes berkenaan ditutup.

"Jika ada sebarang bukti tertentu oleh bekas pekerja BPR, mereka perlu dedahkan semula agar tindakan undang-undang dapat diambil segera," katanya yang meninggalkan PKR dua tahun lalu dan kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Beliau juga berkata, walaupun perkara yang didedahkan merupakan isu lama, jika tidak diambil tindakan akan menjejaskan kredibiliti SPRM.

Dalam satu mesej Twitter lewat semalam, Azmin berkata, "persetankan mereka. Nabi Musa dan Nabi Yusuf juga difitnah. Saya manusia kerdil. Pohon kekuatan dari ALLAH SWT."

Ia adalah pendedahan dibuat oleh pihak yang berkenalan dengan Azmin sejak kebelakangan ini.

Laporan media memetik portal Raja Petra berkata, Anwar mengarahkan kes rasuah jutaan ringgit membabitkan Azmin ditutup ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Raja Petra sebelum ini  mendakwa Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika itu bertindak lanjut (NFA) ke atas Azmin dan menghapuskan fail siasatan walaupun mempunyai cukup bukti untuk menahan dan mendakwanya.

Malah menurut Raja Petra, maklumat itu diperoleh daripada seorang bekas pegawai kanan BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM) yang menyerahkan dokumen sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi itu di London bulan lalu.

Raja Petra mendakwa berdasarkan dokumen berkenaan, BPR mempunyai bukti jelas Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai dan cek.

Semua urus niaga yang disah dan diperakui bank adalah antara beratus-ratus fail dokumen yang diserahkan pegawai SPRM itu selain laporan polis dan siasatan, penyata akaun dan bank, salinan cek, baucer dan nota kontrak.

“Saya mesti nyatakan bahawa kandungan fail yang tebal itu mengambil masa cukup lama untuk dibaca dan difahami, bukan saja sangat menarik tetapi memberi kesan yang sangat buruk kepada Anwar dan Azmin," kata Raja Petra dalam portalnya.

“Dalam fail itu juga menyatakan Azmin menerima RM15,000 sebulan daripada seorang ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri dan perkara itu masih berlaku," kata Raja Petra.

Tiada ulasan: