HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mei 2012

Adam stabil selepas rawatan

Wartawan Sinar Harian

Tabung adik Adam
 
‘Adam derita, saya sengsara’
 
 
SHAH ALAM - Kanak-kanak yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali, 10, kini semakin stabil dan dibenarkan pulang setelah mendapat rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL), selama tiga hari.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, beberapa panel pakar menjalankan pemeriksaan fizikal Adam dan berbincang mengenai beberapa langkah terbaik bagi mengurangkan penderitaan Adam.

“Mereka ada memaklumkan mengenai rawatan terbaik untuk Adam, bagaimanapun, belum ada lagi sebarang keputusan diputuskan dan semua keputusan terhadap pembedahan Adam masih dalam perbincangan.

“Alhamdulillah, setakat ini, keadaan Adam semakin stabil berbanding ketika mula-mula dikejarkan ke sini, dia menangis kerana tidak dapat tanggung sakit di bahagian leher dan beberapa anggota badan yang lain,” katanya.

Adam dimasukkan ke HKL Sabtu lalu setelah didapati tidak dapat menggerakkan kepalanya ke kiri.

Akbar Ali berkata, Adam memerlukan RM175,000 bagi menampung pembedahannya di Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.

“Setakat ini, jumlah dana yang dikumpulkan bagi pembedahan Adam ialah RM42,620. Saya amat berharap agar jumlah ini akan semakin meningkat bagi membantu untuk meringankan penderitaan Adam yang menderita sejak empat tahun lalu.

“Saya dan isteri sudah tidak mampu melihat Adam sentiasa menangis kerana tidak mampu menahan sakit.

Saya amat berterima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan penderitaan Adam,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Akbar Ali, Maybank (512101054830) dan Bank Islam (12038025182964).

Tiada ulasan: