Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) terus mendesak kerajaan melaksanakan lapan tuntutan sebelum Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13).
Lapan tuntutan tersebut adalah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga berkata, setakat ini kerajaan masih gagal melaksanakan sepenuhnya tuntutan itu bagi mereformasikan pilihan raya.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih gagal membersihkan senarai pemilih. Contohnya, penipuan dianggap kesilapan perkeranian.
“SPR memindah pengundi walaupun kad pengenalan menunjukkan mereka tinggal di kawasan berlainan,” katanya dalam satu kenyataan mengulas dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 17 Mei lalu bahawa kerajaan kononnya bersetuju melaksanakan tujuh daripada lapan tuntutan berkenaan.
Bagi tuntutan dakwat kekal pula, Ambiga berkata, SPR menetapkan jari dicalit, bukannya dicelup dalam dakwat menyebabkan ia sukar dilihat.
Tambahnya, dakwat kekal juga digunakan sebelum mengundi bukannya selepas.
“Semua ini membuat penggunaan dakwat kekal sangat tidak memuaskan,” katanya.
Akses media masih tidak bebas
Ambiga berkata, tuntutan Bersih supaya media kerajaan boleh diakses oleh Pembangkang juga masih tidak jelas.
Menurut Bekas Presiden Majlis Peguam itu, Bersih mengalu-alukan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar untuk menggubal garis panduan media arus perdana supaya menyiarkan liputan adil.
Bagaimanapun, Wan Ahmad masih kurang memahami makna sebenar akses media yang bebas dan adil.
“Beliau meminta akhbar parti Pembangkang juga memberikan liputan seimbang jika mahu Barisan Nasional (BN) melakukan perkara yang sama.
“Beliau seolah-olah mengandaikan bahawa media arus perdana adalah milik parti pemerintah,” kata Ambiga.
Tempoh berkempen dan kebebasan SPR
Menurut Ambiga, Bersih menuntut tempoh berkempen dijalankan sekurang-kurangnya 21 hari, bagaimanapun SPR menetapkan 11 hari sahaja.
Beliau berkata, 11 hari masa berkempen terlalu singkat terutama bagi pengundi tidak hadir di luar negeri.
Ambiga berkata, integriti SPR juga semakin merosot apabila kontroversi berkenaan pengerusi dan timbalan pengerusinya ahli Umno gagal diselesaikan.
“Kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang bermaksud bahawa dia masih menganggap dirinya sebuah kerajaan membayangkan dia masih taat kepada kehendak dan arahan kerajaan.
“Ia bertentangan dengan kedudukan sebagai ahli SPR yang seharusnya bebas daripada kerajaan.
“Ini menimbulkan persoalan jika SPR gagal melaksanakan tugas yang paling asas iaitu mengurus dan melindungi integriti daftar pemilih, bagaimana SPR boleh diamanahkan untuk melaksanakan reformasi pilihan raya?” soalnya.
Rasuah dan politik kotor
Ambiga berkata, setakat ini, tiada usaha daripada SPR dan Umno BN menangani isu pembelian undi ketika pilihan raya.
“Kita terus diagihkan oleh kerajaan dalam bentuk dividen dan bonus, menjanjikan pengapungan di pasaran saham syarikat dan aset milik kerajaan, bantuan kewangan dan sebagainya,” katanya.
Lebih mendukacitakan, beliau berkata, kerajaan Umno BN juga gagal mengekang budaya politik kotor dan fitnah daripada terus berleluasa.
“Terbaru, politik kotor diterjemah melalui pendakwaan bermotif politik ke atas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyertai Bersih 3.0,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan