HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Mei 2012

Umno dakwa video ceramah Lembah Pantai tiada bukti keganasan Pemuda Umno

 
 
KUALA LUMPUR — Umno Lembah Pantai mendakwa, video yang didakwa PKR bukti kepada insiden keganasan dalam insiden ceramah di Lembah Pantai minggu lalu tidak menunjukkan sebarang keganasan dilakukan Pemuda Umno.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Lembah Pantai Datuk Mohamad Sazali Kamilan menegaskan, daripada pengamatannya, video berkenaan hanya menunjukkan Pemuda Umno bersorak “boo” kepada PKR dan tiada sebarang insiden keganasan direkodkan.

“Nurul Izzah sepatutnya takrifkan mana satu dari suntingan video tersebut yang dikatakan keganasan orang Umno. Beliau perlu menjawab sekiranya sorakan dan “boo” itu adalah keganasan,” kata Sazali dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar sebelum ini mendakwa mempunyai video bukti yang menunjukkan Pemuda Umno bertindak ganas terhadap penyokong PKR yang menghadiri ceramah pada malam itu di kawasan perumahan Pantai Permai di sini dan menafikan keganasan itu dicetuskan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menghina Pemuda Umno dengan panggilan “celaka” dan “sial”.

Malah, Naib Presiden PKR itu juga telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut yang telah mencederakan dua individu termasuk kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun serta turut menggesa pihak berkuasa terbabit menahan individu yang terlibat.

Sazali turut mengulangi pendiriannya yang tidak pasti bagaimana terdapatnya objek-objek seperti batu, botol air, dan telur dibaling ke arah peserta dengan kehadiran penyokong kedua-dua parti yang begitu ramai.

“Saya mengulangi kenyataan bahawa tiada siapa yang boleh kata secara tepat sebenarnya dari mana datangnya objek-objek, dan dari mana bermulanya balingan objek-objek yang terkena para hadirin dari kedua-dua belah pihak.

“Setakat menuduh sepertimana yang dibuat oleh Nurul Izzah memang mudah. Apa buktinya orang Umno yang baling sehingga ada yang cedera.?” soal beliau dan menambah “yang kita tahu (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tiba-tiba menuduh Pemuda Umno baling batu. Selepas itu, Anwar hambur kata-kata yang menghina Pemuda Umno. Dia kata Pemuda Umno “sial” dan “celaka”.

Malah jelasnya, ada juga ahli Umno yang turut membantu ahli PKR sewaktu insiden keganasan tersebut berlaku.

“Pada ketika (kejadian itu) ada seorang ahli mereka terkena balingan objek, terdapat ahli Umno, berbaju merah dan berlogo Umno di kawasan ceramah mereka yang membantu ahli mereka (PKR) yang cedera itu.

“Kalau betul Pemuda Umno yang buat (balingan tersebut) kenapa tidak “pegang” dia,” tambahnya lagi, merujuk kepada ceramah kedua-dua parti yang hanya dipisahkan dengan jarak 100 meter.

Malah, Sazali turut menyelar sikap sikap Nurul Izzah yang dakwanya “berdolak dalih” terhadap pihak polis dan akan mengambil kesempatan daripada insiden tersebut untuk dijadikan modal politik provokasi mereka sewaktu pilihan raya.

“Saya yakin politik provokasi mereka ini akan digunakan sewaktu pilihan raya. Gambar-gambar insiden itu akan disunting dan diposter seperti mana pilihan raya terdahulu,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Lembah Pantai Datuk Ibrahim Thamby Chik berkata, penyokong PKR adalah pihak yang bertanggungjawab mengganggu ceramah Umno sebelum ceramah pembangkang berhampiran dibaling telur dan batu.

Ibrahim turut menegaskan kepada The Malaysian Insider, penyokong PKR dari awal lagi sudah bersikap biadap sejam sebelum Nurul Izzah dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba, dan menegaskan penyokong pembangkang itu mengganggu ceramah Umno yang terletak hanya 100 meter dari lokasi ceramah PKR.

“Sudah tentu ia daripada mereka di sana. Sepanjang pengetahuan saya kira-kira jam 9.30 malam, ustaz kami, Ahmad Najib, yang sedang berucap (di ceramah Umno) diganggu penyokong PKR.

“Ini sebelum Nurul Izzah dan Anwar sampai ... kami ada bukti kejadian itu tapi ada kami salahkan mereka? Tidak,” kata Ibrahim.

Beliau dan Sazali juga sebelum ini menuduh Anwar telah memprovokasi keganasan dalam ceramah tersebut dan menafikan bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

“Itu adalah kelebihan mereka. Mereka buat kecoh dan tidak mahu bertanggungjawab kemudian menyalahkan orang lain.

“Kami tidak akan menurut kehendak mereka,” kata Ibrahim menambah.

Sinar Harian semalam menyebut Raja Nong Chik akan mengemukakan kenyataan hari ini bagi menjawab dakwaan PKR.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah mengutuk insiden itu dan menafikan telah mengarahkan Pemuda Umno untuk mengganggu ceramah tersebut.

Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai setelah menang tipis menewaskan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Beliau dijangka akan berhadapan Raja Nong Chik dalam pilihan raya akan datang bagi mempertahankan kerusi yang dipegangnya dalam tempoh sepenggal itu.

Tiada ulasan: