KLANG : Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras rumah urut dan pusat reflexology di sekitar Klang yang dikatakan beroperasi secara ‘on off’.
Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukri berkata pasukan khas itu akan digerakkan setiap minggu untuk membuat pemantauan dan menyita premis yang tidak mempunyai permit serta menjalankan kegiatan yang tidak bermoral.
“Kita akan ketatkan pemantauan dari masa ke semasa. Jika perlu kita akan turun setiap hari untuk memantau kegiatan mereka.
“Kita juga akan bekerjasama dengan polis, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen. Satu mesyuarat khas akan dijalankan dengan semua agensi terlibat bagi mengekang aktiviti itu secara berterusan.
“Mana-mana premis yang disita kita juga tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ke mahkamah selepas kertas siasatan siap,” katanya selepas Mesyuarat Bulanan MPK.
Tambahnya, dari Januari hingga Mei sebanyak tujuh premis disita dan 36 kompauan dikenakan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil MPK.
“Sebanyak RM815,000 dikutip atas kompauan itu. Mereka ini menjalankan kegiatan secara ‘on off’, itu yang menyebabkan sukar untuk mengawal aktiviti mereka.
“Ada premis yang pernah disita sebelum ini, bagaimanapun mereka menjalankan perniagaan itu di kawasan lain,” katanya.
Setakat ini, terdapat 44 premis rumah urut dan 16 pusat reflexology yang berlesen di Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan