Keadaan ini berlaku akibat bapa mereka yang berusia 39 tahun yang dikatakan sedang menjalani hukuman buang daerah kerana terlibat dengan dadah sejak beberapa bulan lalu manakala ibu mereka yang berusia 35 tahun masih merengkok dalam lokap polis untuk proses soal-siasat, juga berkaitan tuduhan terbabit dengan najis dadah.
Empat beradik malang ini Nor Shafarina, 12, Mohd Sharizan, 11, Mohd Syawal, 7, dan Nor Sharifah, dua setengah tahun kini hanya bergantung hidup kepada nenek mereka Esah Abu Bakar, 60, dan ibu saudara mereka Yuslina Mohd Yusof, 36, seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak.
Keluarga itu hanya bergantung kepada pendapatan Yuslina yang berniaga nasi lemak di waktu pagi secara kecil-kecilan.
Yuslina yang mempunyai tiga orang anak berusia antara tujuh hingga 16 tahun berkata dia terpaksa mengambil tanggungjawab menjaga empat anak saudaranya itu selepas abang dan kakak iparnya ditahan.
"Saya hanya mampu menjual nasi lemak secara kecil-kecilan dengan pendapatan yang cukup makan saja. Kami tidak ada punca pendapatan lain," katanya.
Tiga daripada empat beradik tersebut yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Baling dikatakan sering ke sekolah tanpa membawa wang saku. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan