HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mei 2012

Himpunan Hijau, daleh Rais dan debat Anwar-Najib



Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Secara peribadi saya mengharapkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, yang bertanggungjawab ke atas media yang dibiayai dana awam, khususnya RTM dan Bernama, dapat mempertimbangkan dengan rasional cadangan debat politik di antara Perdana Menteri, Najib Razak dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Malang sekali, beliau secepat kilat menolak saranan itu dengan daleh: "Kalau kita berdebat 50 jam pun, kita tidak dapat apa-apa." Malah Rais menyifatkan debat antara Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam isu PTPTN, anjuran akhbar Sinar Harian, dan disiarkan secara langsung oleh Astro Awani, sebagai "mainan politik".

Moderator debat Rafizi-Khairy,  Dr Maszlee Malik, sebelum menutup acara bersejarah itu mencadangkan program sama, tetapi membabitkan Najib dan Anwar. Saya yakin cetusan hati  Maszlee  itu sebenarnya dikongsi sebahagian besar rakyat Malaysia, yang mengimpikan agar amalan politik baru yang lebih terbuka, telus dan matang dapat dibudayakan.

Sebelum Rais, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor, lebih awal lagi menolaknya.
Saya mengenali Rais selepas beliau berada di luar kerajaan, ketika menjadi Timbalan Presiden Semangat 46, dan mula mengikuti ceramah politiknya semasa kempen pilihan raya kecil Ampang Jaya, Januari 1989, membantu Allahyarham Harun Idris.  Seingat saya, ucapan Rais banyak tertumpu kepada "kemungkaran politik dan ekonomi" Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin

Beliau disingkirkan oleh Dr Mahathir pada 1987, dengan jawatan kabinet terakhir sebagai Menteri Luar. Ungkapannya yang popular ketika itu adalah "membakar jambatan". Rais mencuba peluang merebut kedudukan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti April, 1987, mewakili Team B, bersama kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam tetapi kalah. Kemudiannya berganding bahu dengan Ku Li dalam parti Semangat 46, dan menyertai pilihan raya 1990 tetapi gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jelebu.

Selepas S46 kalah teruk pada pilihan raya umum 1995, difahamkan Rais merupakan tokoh utama yang merundingkan pembubaran parti berkenaan, seterusnya kembali ke pangkuan Umno. Sebagai imbuhannya, selepas bertanding pada 1999, Rais ditawarkan jawatan menteri, tetapi bosnya, Ku Li terus dipinggirkan Mahathir, walaupun turut bersama menyertai semula Umno.

Ketika masih bersama pembangkang, agak kerap juga saya mengunjunginya di pejabat guaman Ram, Rais & Partner, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, bersebelahan gedung Globe Silk Store. Selain berbincang mengenai perkembangan politik semasa, seringkali ideanya saya manfaatkan untuk akhbar, makalah dan buku politik yang saya terbitkan. Saya hormati sudut pandangnya yang agak bebas, termasuk keberaniannya mengkritik gaya kepimpinan Ku Li mengendalikan Semangat 46.

Ada kalanya kami bertukar-tukar buku, hasil tulisan masing-masing, termasuk hasil kajian PhD beliau, Freedom Under Executive Power in Malaysia: A Study of Executive Supremacy. Saya dapat mengesan hubungan dinginnya dengan Ketua Penerangan Semangat 46, Ahmad Shabery Cheek, kini Menteri Belia dan Sukan, yang menjadi orang kepercayaan Ku Li wakutu itu.

Bagaimanapun, Shabery, yang juga pernah menerajui Kementerian Penerangan, sempat mencatat sejarah apabila bersedia berdebat dengan Anwar, pada 15 Julai 2008, hanya beberapa bulan selepas BN dikejutkan dengan prestasi buruk dalam PRU12.

Debat bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak" berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, dan disiarkan secara langsung, antaranya melalui TV9, Astro Awani dan BernamaTV, selain diulang siar TV3.

Saya lebih melihatnya sebagai petanda keterbukaan era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, di samping tidak melupakan "jasa"  bekas Perdana Menteri itu mengembalikan kekerapan penerbitan Harakah, daripada dua kali sebulan kepada dua kali seminggu. Begitu juga dengan tempoh kempen lebih lama, pada 2008, iaitu 13 hari, berbanding sebelumnya, pada 2004, lapan hari dan tidak melebihi 10 hari di zaman Mahathir.

Rais -- diberi kepercayaan menerajui potfolio yang begitu besar -- tentunya menari mengikut rentak dan kehendak Najib. Beliau cuba meremehkan, malah memperlekeh, aspirasi rakyat, yang menuntut "permainan politik di atas padang yang sama rata".

Majoriti pengundi hari ini, termasuk yang bakal pertama kali mengundi, tidak mudah untuk diperbodohkan lagi; mereka sedang menilai dan menghakimi apa jua aksi yang dipamerkan aktor-aktor politik ini, baik daripada BN mahupun Pakatan Rakyat, termasuk reaksi terhadap cadangan debat.

Sekurang-kurangnya Khairy (yang tidak dipedulikan Najib untuk jawatan dalam kabinet) mempunyai keberanian untuk bersemuka dan mendengar kritikan langsung kepada diri dan partinya, hatta berkaitan itu bapa mertuanya!

Berdebat dengan Rafizi bukan kali pertama, dan dia juga pernah berdepan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga, yang disiarkan live melalui internet mengenai pembaharuan sistem pilihan raya, 25 April lalu.

Begitu juga dengan keterbukaan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek, yang berdebat (dan disiarkan TV secara langsung) dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Difahamkan, penganjur yang sama, Asli, melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya telah menghantar undangan kepada kedua-dua tokoh itu untuk Debat Lim-Chua 2.0.

Polemik debat ini mengingatkan saya terhadap dua tuntutan Bersih, iaitu akses media yang bebas, adil dan saksama buat semua parti yang bertanding serta tempoh kempen minimum 21 hari. Apakah sikap yang ditunjukkan Rais itu telah menggelapkan sama sekali harapan kita untuk melihat media, terutama yang dibiayai dana awam, seperti RTM, berlaku adil kepada Pakatan?

Sebenarnya ramai khuatir bahawa fungsi tradisi stesen TV, termasuk di bawah Media Prima, yang bertindak seperti "Bilik Gerakan Kempen BN" sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, bukan hanya diteruskan, malah bertindak "lebih melampau lagi".

Bukankah orang kuat Media Prima, Ahmad Farid Ridzuan, dipinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri, sebagai Penasihat Komunikasi terutama menguruskan hal "penjenamaan" projek bantuan 'one-off' Najib, Jelajah Janji Ditepati? Bagaimanapun, TV3 yang selama ini kelihatan agak profesional menguruskan propaganda BN, kini begitu merosot kualiti persembahannya, setaraf dengan RTM!

Sesungguhnya, bagi saya, media massa, termasuk yang dimiliki pihak swasta (dalam konteks negara kita, pemilikan media utama, khususnya stesen TV, radio dan akhbar harian, semuanya dikuasai mutlak oleh syarikat berkepentingan Umno-BN) perlu bertindak sebagai penyalur maklumat yang tepat, benar dan beretika kepada masyarakat. Meskipun lidah rasmi parti, seperti Harakah, mempunyai limitasi dan keterbatasan, namun ia juga sama sekali tidak boleh terbabit dalam penyebaran fitnah dan seumpamanya.

Justeru, respons Bersih terhadap kesediaan  Rais "untuk memberi akses adil kepada parti politik bagi menyiarkan manifesto dalam  media kerajaan tetapi mengikut nilai beritanya", amat wajar. Langsung tidak tergambar tekad politik yang kuat bagi membawa pembaharuan seperti dituntut rakyat. Rais cuba "bermain wayang".

"Pengundi perlu mendapat akses kepada maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan bermaklumat ketika pilihan raya dan media memain peranan kritikal untuk memudahkannya," kenyataan Bersih dipetik.
Gabungan NGO tersebut seterusnya mencadangkan pindaan ke atas Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya:

• Menetapkan hak untuk menjawab semua dakwaan yang ditimbulkan.
• Akses adil kepada media swasta untuk semua parti dan calon bertanding, dan menetapkan akses adil untuk iklan berbayar.
• Menetapkan media milik kerajaan untuk memperuntuk waktu siasaran percuma sewajarnyauntuk parti dan calon yang bertanding, termasuk untuk debat di siaran langsung TV.
• Satu garis panduan kepada media dalam membuat liputan pilihan raya.
• Pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kawalan kandungan dan pemilikan serta pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pelik juga memikirkan mengapa Najib dan juak-juaknya, termasuk Rais, gerun dan cuak untuk menyahut cabaran debat ini. Sewaktu seluruh dunia menunjukkan penghormatan tinggi terhadap budaya politik baru,  perkembangan di Malaysia  mengundur ke belakang. Di rantau sebelah ini, negara-negara yang dikenali mempunyai pemerintahan autoritarian seperti Myanmar dan Singapura pun terpaksa melonggarkan kawalan mutlaknya ke atas media kerajaan semasa kempen pilihan raya.

Apa pun, mutakhir ini, di negara kira, gangguan melampau terhadap program Pakatan Rakyat, khususnya secara kekerasan fizikal, semacam sudah menjadi trend dan kelaziman.

Lebih aneh, terdapat penceramah Umno, daripada yang tiada berjawatan, seperti Ummi Hafilda Ali sehinggalah taraf VVIP seperti, Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam, dilaporkan sering mengadakan ceramah bersebelahan majlis Pakatan.

Tentulah ia semata-mata bertujuan untuk menganggu dan mengacau, atau sekurang-kurangnya memalingkan perhatian publik. Manakala isi ucapan mereka adalah untuk membalas secara langsung apa yang ditekankan oleh penceramah pembangkang. Bagaimanapun, bukanlah mereka bermaksud untuk melawan hujah dengan hujah, tetapi lebih kepada usaha menimbulkan gangguan, termasuk dengan menganjurkan program hiburan  yang membingitkan.

Sepatutnya hujah dipatahkan dengan hujah, argumen diatasi dengan argumen. Budaya tidak sihat menganggu program Pakatan itu sebenarnya boleh "ditransformasikan" kepada majlis ilmu seperti perdebatan ataupun forum politik, yang pernah popular di kampus-kampus satu ketika dahulu.

Alangkah moleknya jika Najib dapat menunjukkan teladan yang baik, dengan memberi kesediaan untuk berdebat dengan Anwar, dalam satu majlis yang diatur rapi, dan disiarkan TV secara langsung.

Moga-moga insiden ganas dan hodoh selama ini digantikan dengan amalan lebih beradab, yang menunjukkan kematangan berpolitik dan tamadun tinggi yang boleh kita banggakan. Apa pun, saya masih mengharapkan Rais mampu berperanan dalam hal ini. Jangan pula saya dituduh bermimpi di siang hari pula!

II.

Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam 1 Jun ini dan program Amanat Khas Presiden di sebelah paginya, di Kompleks PAS Kedah, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Selain menggantikan Muktamar Tahunan PAS, ia mungkin merupakan pertemuan terakhir yang begitu bermakna sebelum PRU13, yang menghimpunkan segenap jentera dan kekuatan parti daripada segenap lapisan.

Ketika umum masih membicarakan fenomena demonstrasi Bersih 3.0 yang dihadiri lebih suku juta orang, penganjur seperti terbeban untuk memastikan himpunan ini turut disertai audien  bertaraf "ratusan ribu" juga.
Saya yakin rakyat Kedah cukup teruja dengan pemilihan negeri itu sebagai tuan rumah, sekurang-kurangnya untuk mempamerkan komitmen tinggi mereka mempertahankan Jelapang Padi itu dari direbut pemimpin Umno-BN, yang kini bertelagah siapa bakal menteri besar, jika menang nanti.

Bagaimanapun, saya seperti rakan-rakan yang lain, tentunya mengharapkan lebih lagi; bukan hanya Alor Setar "yang dihijaukan", tetapi juga meliputi seluruh pelosok tanahair, setidak-tidaknya menghijaukan laluan Lebuh Raya Utara Selatan, mengulangi Bersih 3.0 "yang berjaya menguningkan".

Himpunan Hijau ini juga harus mampu mendorong, menginspirasi dan menyuntik semangat buat aktivis parti untuk berdepan pilihan raya paling kritikal dan mencabar, terutama kepada PAS sendiri. Moga-moga Allah merahmati dan memberkati perhimpunan ini...

Tiada ulasan: