HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mei 2012

Isu air: Noh kelirukan rakyat

 
Kurangnya pengetahuan mengenai isu air menyebabkan pemimpin Umno-BN memutar-belitkan isu ini demi politik.




PETALING JAYA: Rakyat perlu mengetahui kedudukan sebenar terutama usaha kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air dari syarikat konsesi bagi mengelak kenaikan harga air yang keterlaluan dan perkhidmatan pembekalan air yang lebih berkualiti.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kurangnya pengetahuan mengenai isu air menyebabkan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) memutar-belitkan isu ini demi politik dan menyelamatkan syarikat konsesi yang dimiliki kroni Umno.

Sehubungan itu, beliau akan memberi penerangan lanjut mengenai isu bermula dari proses pengumpulan air mentah di empangan, disalurkan ke loji pembersihan sehinggalah disalurkan kepada pengguna di samping isu air tidak berhasil (NRW).

“Kita akan menerangkan secara terperinci langkah demi langkah untuk memberi kefahaman kepada rakyat dan pemimpin Umno-BN yang kita lihat kurang memahami isu sebenar.

“Kita juga akan tunjukkan perbandingan bagaimana negara lain menguruskan air secara profesional yang berlainan dengan negara ini yang lebih mengutamakan syarikat kroni,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Guru anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Sabak Bernam, semalam.

Abdul Khalid berkata, penerangan lanjut ini akan dibuat oleh beliau selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini.

Beliau juga akan menerangkan kelemahan pengurusan air oleh syarikat konsesi yang menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban itu.

Noh bukan pakar 

Mengenai kritikan Datuk Seri Noh Omar mengenai isu air, Menteri Besar menegaskan beliau tidak memandang serius kerana Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu bukan pakar dalam industri air.

“Beliau tiada kepakaran malah mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai isu air. Isu NFC (National Feedlot Corporation) pun beliau gagal selesai, inikan pula isu air.

Adalah lebih baik jika beliau menyelesaikan terlebih dahulu kontroversi NFC sebelum memberi komen isu air yang beliau tidak tahu pucuk pangkalnya,” kata Menteri Besar.

Abdul Khalid berkata, tanggung jawab untuk membersihkan air mentah adalah di bawah tugas syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga manakala Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bertanggungjawab memastikan air mentah di empangan mencukupi.

Beliau yakin rakyat menyokong penuh usaha kerajaan negeri menyusun semula perkhidmatan air dan tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan Umno-BN yang dangkal dan tidak berpaksi pada data yang tepat dan benar tetapi lebih kepada perbohongan.

Tiada ulasan: