HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mei 2012

Polis membisu terhadap penganjur Bersih 2.0, Patriot

 
Sehingga kini tiada sebarang tindakan walaupun laporan oleh 317 peniaga sekitar Kuala Lumpur dibuat sejak tahun lalu. 




KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mempersoalkan sikap berdiam diri polis yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penganjur himpunan Bersih 2.0 dan Patriot sehingga menjejaskan peniaga.

Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah berkata, sehingga kini tiada sebarang tindakan walaupun laporan oleh 317 peniaga sekitar Kuala Lumpur dibuat sejak tahun lalu.

Sehubungan itu, Ridzuan yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) itu hari ini mengemukakan memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman untuk mendapatkan penjelasan tiada tindakan dikenakan terhadap penganjur Bersih 2.0 dan Patriot sedangkan Perhimpunan Bersih 3.0 telah pun diambil tindakan.

 “Kami juga sudah menulis surat kepada Peguam Negara 15 September tahun lalu meminta pengesahan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan supaya kami boleh tuntut kerugian tapi sampai sekarang tiada respon,” katanya.

Katanya, tindakan dan respon daripada polis amat penting kerana pihaknya merancang mahu membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk membuat tuntutan sebanyak RM817,205 daripada penganjur Bersih 2.0 Datuk S Ambiga dan pemimpin Patriot yang juga Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

“Kalau Ambiga dan Khairy fikir sebagai pemimpin yang nak tolong rakyat jangan sampai rakyat naik mahkamah.

“Tak kisah berapa RM1,000 pun kami terima tapi saman tetap saman,” tegasnya.

Ikhlas mewakili kira-kira 80,000 peniaga kecil mendakwa sekurang-kurangnya 200 peniaga menanggung kerugian termasuk kos kerosakan akibat perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih, Bersih 2.0 Julai tahun lalu dan 3.0 April lalu.

NGO itu juga pernah mengadakan protes membuka gerai burger dihadapan rumah Ambiga 10 Mei lalu sebagai tanda protes.

Tiada ulasan: