HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mei 2012

Rais: Debat Najib-Anwar tidak selesai masalah

Wartawan Sinar Harian

Rais Yatim
 
Datuk Seri Rais Yatim
 
 
GOMBAK – Kementerian Penerangan Komunikasi dan kebudayaan tidak bercadang untuk menganjurkan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menterinya, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim berkata, debat tersebut tidak menguntungkan mana-mana pihak sebaliknya mendorong kepada perbuatan tuduh menuduh dan kata-kata nista.

“Kita mahu khidmat kita dapat dilihat oleh rakyat dan tiada masa untuk bercakap serta apa yang perlu dilakukan adalah tunjuk kepada rakyat kita membuat kerja.

“Kalau berdebat 50 jam pun belum tentu dapat selesaikan masalah sebaliknya jika kerja dilakukan yakin lebih banyak rakyat dapat manfaat seperti rumah, jalan dan jambatan serta itu adalah lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dalam perdebatan masing-masing cuba untuk menegakkan pendirian dan ia tidak membawa kepada penyelesaian.

“Kita tidak menghalang perdebatan dan bercakap itu baik tetapi perlu jaga sentimen rakyat Malaysia supaya tidak memecah belahkan negara bangsa,” katanya.

Rais berkata demikian mengulas keperluan untuk kedua-kedua pemimpin tersebut berdebat selepas kejayaan Sinar Harian menganjurkan debat antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dengan tajuk Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi pada 22 April lalu.

Rais sebelum itu menyampaikan kunci rumah kepada enam keluarga yang merupakan mangsa kebakaran akibat litar pintas di ladang Kam Seng.

Pembinaan rumah itu adalah di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan dilakukan secara gotong-royong.

Katanya, program gotong royong dan sukarelawan di bawah Jasa dan pertubuhan khas banyak membantu masyarakat dan akan diteruskan.

“Sepanjang ditubuhkan sebanyak 400 rumah uzur yang memerlukan pembelaan telah dapat dilakukan dan diteruskan kepada enam keluarga di Gombak.

“Kita akan pergiatkan lagi menjejaki masyarakat daif dan membantu mereka sebagai tanda keprihatinan masyarakat dan BN kepada kelompok yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Tiada ulasan: