HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mei 2012

Himpunan Hijau persediaan hadapi PRU-13

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Himpunan Hijau ke Putrajaya di Alor Setar Kedah esok adalah ijtimak terbesar PAS bagi memperkasakan persiapan menghadapi PRU ke 13.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, himpunan itu bakal menyerlahkan satu penyataan persediaan jentera parti di semua peringkat berdepan pilihan raya.

"Himpunan ini akan diadakan dalam suasana semua pihak menggembleng tenaga dan sokongan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti yang bakal menerajui negara.

"Himpunan ini juga satu medan mendekatkan diri sebagai makhluk Allah dengan rayuan, bermunajat dan menghambakan diri kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam PRU ke 13," katanya.

Beliau yakin himpunan esok mampu menjadi model himpunan paling baik untuk dinilai oleh rakyat.

Rakyat ujarnya boleh bandingkan dengan Himpunan Sejuta Belia yang dicemari dengan pelbagai perkara tidak senonoh, malah mengakibatkan kemalangan dan kecederaan akibat keghairahan manusia bagi menterjemahkan keegoan dan kesombongan.

"Majlis ini tidak dihidang dengan konsert, perlumbaan kereta, artis berpakaian menjolok mata, tiada tarian dan nyanyian, yang ada adalah tangisan takut akan azab Allah, merayu pertolongan Allah bagi memelihara agama dan umat ini.

"Himpunan yang jauh dari elemen maksiat dan kemungkaran ini akan menyerlahkan ketinggian akhlak para pekerja parti dan penyokong serta dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat kepada semua yang mengikutinya di sana dan juga siaran langsung di dalam pelbagai saluran media baru," katanya.

Tiada ulasan: