HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mei 2012

Ah Long Makin Kejam Guna Bom Petrol




KUALA LUMPUR: Pemberi pinjaman wang haram atau ah long bertindak lebih agresif dengan membakar kenderaan dan melontar bom petrol ke dalam rumah peminjam yang gagal melunaskan hutang mereka.

"Selain bertindak sedemikian untuk mengganggu peminjam, mereka juga membahayakan nyawa orang lain," kata Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong.

"Jika api merebak, ia turut memusnahkan rumah jiran berdekatan," katanya di pejabatnya di sini, Rabu.

 
Chong (tengah) dan dua mangsa menunjukkan harta benda mereka yang dirosakkan ah long ketika sidang media di Kuala Lumpur, Rabu.
 
Beliau berkata, sebanyak 239 kes individu dan keluarga diganggu oleh ah long dilaporkan kepada jabatan itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya 356 kes tahun lalu.

Katanya, kes tahun ini melibatkan sejumlah pinjaman sebanyak RM14 juta daripada ah long.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa meminjam wang untuk kegiatan perjudian manakala beberapa yang lain mendapatkan pinjaman bagi memulakan perniagaan.

Menurut Chong, lebih mengejutkan apabila ramai pelajar turut mendapatkan pinjaman daripada ah long bagi memenuhi tabiat berjudi secara dalam talian.

"Ah long tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana kebanyakan mereka turut menjadi mangsa.

"Segelintir individu membuat pinjaman kerana mereka mahu memulakan perniagaan tetapi menggunakan wang tersebut untuk berjudi dan gagal menjejaskan bayaran balik," katanya.

Pada 20 Mei lalu, seorang jurutera berusia 44 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Ong terkejut apabila mendapati hadapan pintu rumahnya di Klang terbakar.

Ong mendakwa ia dilakukan oleh sekumpulan ah long yang mencari kakaknya dan suami yang melarikan diri pada Februari lalu selepas gagal membayar hutang mereka.

Keretanya turut dirosakkan dan disimbah dengan cat berwarna merah.

Malah, kumpulan ah long tersebut turut melemparkan bom molotov cocktail ke rumahnya.

Pada Isnin lalu, kumpulan ah long tersebut bertindak lebih ganas apabila membakar keretanya.

"Jiran meminta saya berpindah kerana bimbang mengenai nyawa mereka," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang pemilik restoran K.S.Chai mendakwa dua rumah kedai kepunyaannya di Klang rosak teruk pada 20 Mei lalu selepas seorang daripada 13 ah long tempatnya meminjam wang melontar bom molotov cocktail ke dalam premis berkenaan.

Tiada ulasan: