MALAYSIA CHRONICLE
KUALA LUMPUR -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali serta Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin yang sebelum ini didakwa berhubung perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April, pada Isnin menghadapi satu lagi pertuduhan tambahan.
Pada 22 Mei lepas, mereka bertiga didakwa atas dua pertuduhan berhubung perhimpunan itu.
Mereka mengaku tidak bersalah terhadap terhadap pertuduhan tambahan itu iaitu bersubahat dengan R.Tangam, G.Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim bersama penyokong "Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 3.0) yang melebihi lima orang telah menentang perintah Mahkamah Majistret bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan diadakan di kawasan Dataran Merdeka dari 28 April hingga 1 Mei.
Hakim Mahkamah Sesyen Mahmud Abdullah menetapkan 3 September ini bagi sebutan kes itu.
Mahkamah juga menetapkan tarikh sama bagi kes Rajesh Kumar, Farhan dan Tangam yang didakwa sebelum ini berhubung perhimpunan itu selepas kes mereka disebut pada Isnin.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan mengemukakan satu lagi pertuduhan terhadap Anwar, Mohamed Azmin dan juga Badrul Hisham.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan