HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Julai 2012

Zuraida: S'gor perlu putuskan isu Latheefa letak jawatan

Zulaikha Zulkifli


 
Naib ketua PKR Selangor Zuraida Kamaruddin menyerahkan semula isu berhubung peletakan jawatan ketua biro hal ehwal guaman parti itu, Latheefa Koya sebagai ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Ketua Wanita PKR itu juga berkata, isu berkenaan bukan isu yang perlu diputuskan oleh parti itu.

"Kita serah pada kerajaan negeri untuk putuskan. Kita (PKR) tidak terlibat dalam hal ini. Apa pun keputusan kita tunggu kerajaan negeri," katanya ketika ditemui Malaysiakini di ibu pejabat parti tersebut di Petaling Jaya hari ini.

Zuraida merupakan antara pemimpin yang lantang menyuarakan kritikan ke atas kerajaan negeri itu yang menurutnya "mengambil tindakan sendiri tanpa rundingan dengan pimpinan parti Selangor" berhubung isu berkenaan.

Beliau hari ini ditanya mengenai usaha PKR untuk memujuk Latheefa supaya menarik balik peletakan jawatan tersebut.

Seorang pemimpin tertinggi majlis pimpinan PKR Selangor, Dr Xavier Jayakumer berkata badan itu akan meminta ahlinya Latheefa Koya supaya menarik balik peletakan jawatan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Naib pengerusi PKR Selangor, Dr Xavier Jayakumar sebelum ini berkata majlis pimpinan parti negeri bertanggungjawab untuk menghubungi Latheefa bagi menarik balik peletakan jawatan itu.

Latheefa yang merupakan ketua biro hal ehwal guaman PKR membuat tindakan mengejut itu pada 16 Julai lalu setelah beliau dikatakan akan disingkir daripada jawatan itu.

Latheefa bagaimanapun tidak menyentuh secara langsung sebab perletakannya tetapi menyebut sepintas lalu berhubung isu perumahan rakyat miskin.

Tiada ulasan: