HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Ogos 2012

Akta Lompat Parti perlu ada: Nizar, Koo Ham

Wartawan Sinar Harian

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
 
IPOH - Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Negeri bersetuju agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan akta lompat parti diwujudkan di negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, akta itu perlu bagi mengelak unsur rasuah, salah laku kuasa malah menganiaya pengundi.

Menurut beliau, tindakan lompat parti itu juga dilihat sebagai pencabulan demokrasi dan dengan adanya akta itu kelak ia akan menjaga kewibawaan setiap wakil rakyat sebagai penggubal undang-undang.

“Pada saya wajar akta itu diwujudkan. Bagi saya, perlu ditafsir Perlembagaan itu sendiri jika ada seksyen yang menghalang lompat parti tapi saya fikir tidak ada namun jika ada perlulah dipinda.

“Selain itu ia (lompat parti) boleh mencetuskan iri hati dan suasana tidak sihat antara parti-parti berkenaan selain mengelakkan mereka yang lompat diugut ataupun jika yang lompat itu menguasai keputusan kerajaan macam berlaku di Perak sebab kerajaan sedia ada boleh tumbang semula jika dia lompat balik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohammad Nizar berkata, bagi mengelak wakil rakyat ini melompat parti mereka tidak dibenarkan bertanding di kawasan tersebut.

Katanya, bagi calon Islam baiah serta perakuan sumpah laknat perlu dilakukan selain itu galakkan sistem dua parti seperti di Amerika Syarikat mahupun England.

“Kita di Malaysia, BN dan PR malah jangan galakkan parti politik berteraskan kaum atau bangsa kerana ini semua kaedah mengelak wakil rakyat melompat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Ko Ham yang bersetuju dengan cadangan berkenaan berkata, dari segi perlembagaan, di Sabah yang pernah meminda perlembagaan untuk menyekat tindakan melompat parti namun Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tindakan pemimpin Sabah pada masa itu bertentangan dengan hak berpersatuan di bawah Perkara 10.

“Jika Perlembagaan itu sendiri dipinda saya sangat bersetuju memandangkan perkara ini jelas dan nyata merupakan pencabulan hak kepada rakyat itu sendiri.

“Bagi kita rakyat sudah memberi amanah dan sepatutnya ia dijaga, jika berlaku sebaliknya ibarat membelakangi rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: