Ibdillah Ishak sedang membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee. - Foto ihsan Ibdillah Ishak
Laporan dibuat oleh Setiausaha Kerja Pemuda BN, Ibdillah Ishak di Balai Polis Tun H S Lee pada jam 4 petang tadi.
Tindakan itu dimaklumkan menerusi laman Twitter Ibdillah kira-kira jam 4 petang tadi.
“Membuat laporan polis bagi pihak YB Khairy Jamaluddin berkenaan laman FB yang berbaur hasutan,” katanya.
Sementara itu ketika dihubungi Sinar Harian Online, Ibdillah menolak keras akaun itu dikendalikan pihak Pemuda Umno, malah turut mengesahkan akaun itu bukan milik pihaknya.
"Akaun Facebook itu menggunakan nama Pemuda Umno Malaysia dan ia seolah-olah mewakili Pemuda Umno. Jadi YB Khairy mengarahkan saya untuk membuat laporan polis berhubung hal ini," katanya kepada Sinar Harian Online.
Katanya, insiden seperti ini boleh memecahbelahkan masyarakat dan menimbulkan fitnah serta memberikan imej yang salah.
"Kami jelas-jelas menolak kenyataan siapa-siapa berhubung isu agama tidak kira daripada pihak kita mahupun pembangkang," tegasnya.
Pemuda berharap siasatan segera dapat dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengendalikan akaun laman sosial terbabut dan memuat turun poster berbaur hasutan tersebut.
"Pihak yang memuat turun poster itu harus bertanggungjawab dan dikenakan tindakan," katanya.
Menurut Ibdillah, perkara ini akan dibawa kepada pucuk pimpinan oleh Khairy bagi menunjukkan bahawa Pemuda memandang serius perkara tersebut.
Pagi tadi, Sinar Harian melaporkan Pemuda Umno menafikan laman rasmi Facebook kontroversi, yang mendakwa undi kepada Pakatan Rakyat (PR) bermakna sokongan kepada usaha menjadikan Kristian sebagai agama persekutuan, dikendalikan oleh sayap itu.
Sehubungan itu, pergerakan tersebut mahu membuat laporan polis.
"Ya, bukan laman FB kami," kata Khairy Jamaluddin menerusi mesej Twitter menjawab pertanyaan susulan pengikutnya.
Menerusi mesej seterusnya, Khairy berkata, pihaknya sudah ada maklumat susulan berkenaan dengan pengurusan dan pentadbiran laman yang membawa mesej yang "memudaratkan."
"Kami akan membuat laporan polis hari ini," kata beliau.
Laman sosial itu mengakui ia sebagai milik Pemuda Umno memuatkan mesej itu awal pagi kelmarin tetapi telah dikeluarkan selepas ditegur oleh kepimpinan PR termasuk Ketua Pembangkangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kandungan awal mendapat reaksi daripada kedua-dua PR dan penyokong Barisan Nasional (BN).
Malah perkara itu turut dinafikan oleh Khairy, yang juga Ketua Pemuda BN kelmarin dan berjanji akan menyiasat siapa pengendali dan pentadbirnya.
Laman itu memaparkan wajah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti pemimpin-pemimpin Umno khususnya dari Selangor.
Poster yang kontroversial itu menyatakan: “Jika anda setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. ‘God bless you my son’ (Tuhan berkatimu, anakKu).”
Pemaparan bahan berkenaan menjadi perhatian ketika spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin meningkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan