Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Pembohongan Pengarah Eksekutif George Kent,
Cheong Thiam Fook mengenai kelayakannya memenangi bidaan kontrak
penyambungan LRT Ampang didalangi Perdana Menteri, kata Rafizi Ramli.
Membidas pembohongan ini, Pengarah Strategi KEADILAN itu ada bukti
konsortium tersebut gagal memperoleh bidaan sekaligus menghina proses
berkenaan dan perolehan negara.
“Pembohongan George Kent (mengatakan) beliau lulus semua penilaian
dan mematuhi syarat-syarat menghina semua proses dan prosedur yang
digunapakai di dalam sistem perolehan negara. Ia juga membayangkan
bahawa proses dan prosedur ini tidak berfungsi dan berkesan sehingga
langsung tidak dihormati oleh pembida.
“Saya yakin kebongkakan George Kent ini berpunca dari sokongan padu
(Datuk Seri) Najib (Razak) kepada syarikat itu. George Kent tahu mereka
kini sudah kebal dari undang-undang kerana dilindungi sepenuhnya oleh
Perdana Menteri, sebab itulah mereka tidak segan silu berbohong walaupun
ada fakta dan bukti yang sahih,” katanya pada kenyataan.
Cheong sebelum ini berbohong mengatakan konsortium berkenaan
memenangi bidaan itu kerana lulus penilaian kewangan dan semua syarat
serta mematuhi kontrak.
“Bidaan oleh George Kent dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion
Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari
luar negara. Bidaan ini dilabelkan sebagai bidaan tiga dari lapan
pembida (3/8).
“Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan jelas menunjukkan bahawa
Konsortium George Kent hanya mendapat markah 8.7 daripada 30 markah
keseluruhan bagi penilaian kewangan. Oleh itu, Prasarana (Negara Berhad)
memutuskan George Kent gagal dalam penilaian kewangan.
“Malah George Kent juga tidak mematuhi syarat-syarat kontrak termasuk
membuat permohonan agar beberapa syarat seperti “bayaran ganti rugi
kerosakan akibat gangguan” disemak kembali,” jelas Rafizi.
Syarikat George Kent lemah, tercorot
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, adalah mustahil anugerah itu berjaya
diperolehi George Kent kerana konsortium tersebut berada di tempat
ketiga tercorot daripada segi teknikal.
“Markah teknikal 38.62 dari 70 markah keseluruhan, George Kent berada
di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal. Dalam laporan
penuhnya, Perunding Halcrow menyatakan tidak yakin George Kent boleh
melaksanakan projek itu.
“Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat
tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan
Najib sendiri. Saya telah disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana
mendedahkan dokumen yang sah ini,” terang Rafizi.
Tambah Rafizi, adalah membimbangkan apabila George Kent bersikap
‘besar kepala’ apabila berani membuat kenyataan sehingga membelakangi
Kumpulan Prasarana.
“(Ia) Membayangkan ‘lesen besar’ dipunyai George Kent untuk membuat
kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan
Prasarana.
“Ini menimbulkan persoalan di manakah kemampuan Prasarana kelak untuk
memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan
jadual kerja seperti yang dipersetujui,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan