HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Ogos 2012

Himpunan bantah bahan kimia Bukit Koman 2 Sept

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Himpunan besar-besaran membantah penggunaan bahan kimia berbahaya oleh kilang perlombongan emas di Bukit Koman akan diadakan 2 September ini jam 2 petang di Dataran Raub, Pahang.

Himpunan Hijau Raub (HHR) itu bertujuan menuntut kehidupan yang lebih sihat dengan menghentikan proses perlombongan yang menggunakan bahan kimia cyanide.

Sasaran 20,000 penyertaan dari seluruh negara itu akan dimobilisasikan Himpunan Hijau bersama NGO-NGO lain termasuk Pakatan Rakyat.

HHR dalam satu kenyataan berkata, penduduk Raub terutamanya dari Bukit Koman yang sihat sebelum ini jatuh sakit akibat menghidu bahan kimia itu.

Katanya, semua aduan dan rayuan yang dibawa ke pihak berkuasa tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Mereka tidak melakukan apa-apa untuk membuktikan kilang ini selamat malah kerajaan membenarkan kilang ini beroperasi,” kata HHR.

“Semua ini mesti dihentikan. Kami bukan memusuhi perniagaan yang memperolehi keuntungan. Tetapi kilang emas ini beroperasi tanpa etika dan mencemarkan persekitaran dan membahayakan kehidupan penduduk.

“Kita mesti perjuangkan hak kita untuk hidup sihat tanpa rasa takut,” kata mereka lagi.

Lombong emas Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang beroperasi sejak Februari 2009 dikatakan memberi kesan ke atas lebih 300 penduduk berdekatan, khususnya Kampung Bukit Koman, Raub yang mengadu mengalami masalah kegatalan kulit, kesukaran bernafas dan pelbagai kesan lain ekoran penggunaan cyanide.

Tiada ulasan: