Nurul Izzah mahu Menteri Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap
ciptaan lagu tema Hari Kemerdekaan ke-55.
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar membidas tindakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu menubuhkan satu panel khas menyiasat ketulenan lagu tema sambutan perayaan hari merdeka ‘Janji Ditepati’.
Beliau berkata, Rais perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ciptaan lagu tema Hari Kemerdekaan ke-55 itu jika kerajaan sudah memutuskan untuk menggunakannya pada 31 Ogos nanti.
Lebih mengecewakan, Izzah berkata wang rakyat pastinya akan dibazirkan begitu sahaja untuk menubuhkan jawatankuasa panel khas terbabit.
“Agak mengecewakan tema dan lagu yang dipilih berkaitan dengan parti.
“Lebih baik jika beliau sendiri sahkan (ketulenan) lagu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelab Mahasiswa PKR Malaysia di sini hari ini.
Katanya, adalah Rais perlu mengambil kira pendapat rakyat dalam membentuk lagu berkenaan agar sambutan kemerdekaan dapat dihayati sepenuhnya.
Turut pertikai Najib
“Biarlah rakyat yang tentukan kerana dengan cara itu lebih ramai yang akan menghargai kemerdekaan,” katanya.
Rais semalam berkata pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa panel khas bagi menyiasat dakwaan sama ada lagu ‘Janji Ditepati’ tidak menyerupai lagu berunsurkan ketuhanan masyarakat Kristian di Indonesia “Serukan NamaNya” atau mana-mana lagu yang didakwa sesetengah pihak dalam blog sebelum ini.
Sementara itu, Izzah turut mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam terhadap penahanan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli kerana mendedahkan maklumat sulit skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Najib sepatutnya memberi jaminan perlindungan terhadap pemberi maklumat (whistleblower) yang mahu menentang rasuah.
“Jawapan Najib itu mengesahkan beliau mempunyai konflik kepentingan dalam perkara ini,” katanya.
Najib semalam dilaporkan berkata Rafizi seharusnya membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya kepada umum kerana terikat kepada Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan