HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 Ogos 2012

Pelihara fitrah agar ia tidak ternoda

FREE MALAYSIA TODAY

Ianya dinamakan Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah kerana manusia kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu suci, bersih dan tulus.

 

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1433 Hijrah

PETALING JAYA: Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingat dan mengajak seluruh umat Islam di negara ini supaya memelihara fitrah agar ia tidak ternoda.

“Hari ini kita menyambut hari raya yang disyariatkan oleh Islam,” kata Mursyidul Am PAS dan juga Menteri Besar Kelantan dalam satu perutusan menyambut Hari Raya Aidilfitri 1433 Hijrah.

Menurut beliau, ianya dinamakan Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah kerana manusia kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu suci, bersih dan tulus.

“Kesucian ini lahir setelah kita dibersihkan dengan puasa dan pelbagai ibadat di bulan Ramadhan selama sebulan dengan pelbagai latihan menundukkan hawa nafsu.

“Fitrah inilah yang perlu dijaga sebaik mungkin agar tidak ternoda lagi dengan karat-karat dosa dan jahiliyah,” tegas beliau.

Berhubung hal ini, beliau memetik firman Allah dalam Surah Ar Ruum ayat 30 bermaksud: “….iaitu fitrah (agama) yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu.”

Namun katanya, fitrah inilah yang kadang-kadang dicemari oleh kehendak hawa nafsu manusia yang seringkali melanggar batasan.

Manusia yang ditakluk oleh nafsu seringkali mencari kebebasan sehingga melanggar hak-hak Allah dan hak-hak manusia yang lain.

Justeru itu kata beliau, timbullah gegala rasuah, pecah amanah, khianat, penzinaan dan pelbagai skandal lagi yang hakikatnya bertentangan dengan fitrah manusia.

Nik Aziz menambah, sekalipun hawa nafsu mengiakan perkara ini tetapi gejala ini jika semua pihak melakukannya akan mendatangkan kerosakan kepada kehidupan manusia.

“Inilah dia fitrah, fitrah mengatur hidup manusia dan mengatur hidup semua pihak agar hidup dengan aman sentosa.

Beliau menegaskan, peraturan ini hanya ditentukan oleh Tuhan yang mencipta langit dan bumi iaitu Allah SWT.  Inilah perjuangan yang kita tunjangi melalui PAS.

“Kita berusaha membawa masyarakat agar kembali kepada fitrah.  Kita perkenalkan Islam sebagai cara hidup yang sempurna agar masyarakat menyedari bahawa tiada jalan keluar yang boleh menyelesaikan segala kemelut melainkan hanyalah kembali kepada Islam,” ujar beliau.

Tiada ulasan: