HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Ogos 2012

Royalti: NGO mahu serah memorandum kepada Najib

Harakahdaily,

KOTA BHARU: Badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) akan menyerahkan satu memorandum kepada Datuk Seri Najib Razak sempena lawatan perdana menteri ke negeri ini hari ini.

Menurut satu kenyataan gerakan itu pagi ini, memorandum itu akan diserahkan kepada Najib ketika beliau melawat Pasar Jelawat di Bachok jam 5 petang ini.

Memorandum itu ada kaitan dengan pengumuman terbaru Najib berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung termasuk Kelantan.

Difahamkan memorandum itu antara lain mahu menuntut perdana menteri mengurangkan tempoh enam bulan yang diberikan kepada jawatankuasa itu menjalankan kajian.

Mereka mencadangkan tempoh itu dipendekkan kepada tiga bulan seperti dicadang Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam atau sekurang-kurangnya sebelum pilihan raya umum ke-13.

Terima dalam ragu

Ini kerana, biarpun menyambut baik pengumuman perdana menteri itu semalam, namun ianya dibimbangi hanya gimik politik memancing undi rakyat negeri itu menjelang pilihan raya akan datang.

Semalam Tuan Guru Nik Aziz berkata, kerajaan Pusat sepatutnya telah lama menubuhkan jawatankuasa khas tersebut kerana perjanjian antara kerajaan negeri dengan Petronas dibuat pada 1975 lagi.

"Jawatankuasa ini patut ditubuhkan sejak dulu lagi.

"Semasa perjanjian di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas dibuat pada 9 Mei 1975, tapi mengapa baru sekarang mahu tubuhkan?” soalnya ketika berucap dalam satu program di Shah Alam semalam.

Keraguan serupa turut dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan Datuk Husam Musa dalam responnya hari ini.

Menurutnya, kenyataan perdana menteri berhubung jawatankuasa itu masih meletakkan bayaran royalti kepada Kelantan dalam keadaan samar-samar apatah lagi hanya akan diketahui dalam masa enam bulan lagi.

Katanya lagi, jika pilihanraya diadakan dalam tempoh sebelum Jawantakuasa ini membuat laporan dan seterusnya menunggu pertimbangan Kabinet atas rekomendasi Jawatankuasa ini, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan atau ia mungkin berakhir sebagai sebuah latihan akademik semata-mata.

"Adakah penubuhan Jawatankuasa ini hanya sebuah langkah politik menjelang pilihanraya untuk meredakan perasaan rakyat Kelantan dan BN menggunakannya sebagai sebuah 'jambatan' untuk menyeberangi pilihanraya ini dengan selamat, khususnya dalam konteks Kelantan?

"Kenapa enam bulan? Kenapa tidak tiga bulan, umpamanya?," katanya.

Tiada ulasan: