| Mohammad Faizal Che Yusof, |
SYAHDU penghujung Ramadan seharusnya menjadikan kita individu yang mengakui Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa. Kita sebagai hamba yang serba daif. Manusia sebagai khalifah di bumi hanyalah bertujuan memakmurkan bumi dengan syariat yang jelas dalam al-Quran dan Sunnah.
Di segenap aspek kehidupan, Islam telah sempurna. Khazanah tinggalan Rasulullah SAW telah cukup untuk dibongkar bagi kemakmuran seluruh manusia dalam alam jagat maya ini.
Dipanjat rasa syukur kerana dianugerahi nikmat Islam. Tidak lain tidak bukan bagi seorang muslim, medan perjuangannya hanya satu. Meletakkan Islam pada tempatnya adalah cita-cita tunggal demi menagih redha Ilahi.
Membina masyarakat pada setiap sektor dengan Islam adalah tanggungjawab semua individu muslim. Setiap kita ada peranan berdasarkan keupayaan dan ilmu yang ada.
Demikianlah Ramadan 1433H telah mencatatkan peristiwa tersendiri dalam usaha saya dan rakan-rakan ke arah membawa golongan Orang Kurang Upaya kepada pembangunan yang bersifat menyeluruh berasaskan taqwa. Sama ada seseorang itu kurang upaya atau sempurna, nilai keinsanan telah ditentukan pada setiap diri oleh sang pencipta.
Moga berkat Ramadhan yang dijanjikan rahmat, pengampunan dan perlepasan dari neraka menjanjikan kejayaan buat Islam pada masa hadapan atas setiap usaha dan ikhtiar pendokongnya.
Jika disorot sedikit lembaran dan langkah yang dilalui sehingga Sekretariat Prihatin OKU dilancarkan pada 11 Ogos 2012 (22 Ramadan 1433), suatu pertemuan telah berlangsung antara saya dan rakan-rakan bersama Pengerusi Lujnah kebajikan dan masyarakat PAS pada 19 Julai lalu.
Dalam pertemuan yang diadakan di Pejabat Agung PAS, antara kesepakatan dalam syura ringkas itu ialah penubuhan sebuah sekretariat bagi membantu perancangan pembangunan OKU yang bersifat menyeluruh.
Syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi dengan iltizam yang ditunjukkan oleh Dr Siti Mariah Mahmud. Moga Allah beri beliau kekuatan untuk membantu kami dalam membawa agenda yang sekian lama kurang diendahkan selama ini.
Tentunya penubuhan Sekretariat Prihatin OKU merupakan suatu lembaran baru dalam perjuangan saya dan rakan-rakan bagi melihat pembangunan OKU di negara ini. Sudah pasti apa yang saya harapkan bukanlah sekadar agihan bantuan atau bermacam pemberian seperti yang dilakukan sebelum ini.
Pembabitan saya dalam sekretariat tentunya melangkaui hal yang selama ini digerakkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Sebagai sebuah parti politik utama negara, cita-cita saya ialah menjadikan sekretariat yang dilancarkan berfungsi sebagai suatu rujukan politik bagi membentuk dasar negara pada masa akan datang.
Hari ini pembicaraan tentang Malaysia baru pasca PRU 13 telah melata di mana-mana. Tanpa berusaha meletakkan isu OKU dalam arus perdana adalah satu kerugian kepada perjuangan mereka yang terdahulu.
Saya juga akur dan insaf bahawa rentetan langkah pada masa hadapan penuh cabaran. Impian untuk melihat dasar negara menjadikan program pembangunan OKU yang menyeluruh bukanlah suatu laluan mudah. Sama ada Barisan atau Pakatan peneraju negara, ia tetap menjanjikan cabaran tersendiri dalam usaha ini.
Namun setidaknya sekretariat yang ada boleh kami jadikan antara platform terbaik untuk menyuarakan keperluan golongan yang selama ini hanya dijadikan penerima kebajikan. Apatah lagi sekretariat ini bernaung di bawah parti yang menjadikan Islam itu sebagai matlamat.
Prinsip-prinsip pembangunan OKU yang dipaparkan melalui al-Quran, sunnah dan kisah-kisah sahabat telah cukup untuk dijadikan landasan asas betapa Islam menyantuni nilai insaniah seorang yang dijandikan kurang upaya.
Pengiktirafan Islam kepada potensi OKU telah cukup untuk digarap bagi memastikan golongan OKU di Malaysia dibangunkan dengan cara yang lebih baik pada masa hadapan.
Moga Ramadan yang akan melabuhkan tirainya cukup untuk menginsafkan setiap diri muslim betapa Allah menjadikan manusia sebagai ciptaan terbaik-Nya. Sama ada cacat atau sempurna, ia hanyalah wasilah untuk kita membongkar betapa Allah itu Tuhan yang maha berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan