HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 September 2012

Guna karya seni kritik kezaliman - MB Selangor

Harakahdaily,

 

SHAH ALAM: Perjuangan dalam penghasilan karya seni yang membawa suara masyarakat perlu diteruskan kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurutnya, karya seni berperanan penting dalam menyampaikan sesuatu kritikan untuk membetulkan keadaan termasuk kepada kerajaan yang memerintah.

"Karya seni berbentuk interpretasi politik perlu sentiasa ada untuk menyampaikan kritikan dan luahan kepada penyelewengan dan salah guna kuasa" kata beliau pada sidang media selepas merasmikan pameran kartun solo 'Zunar' di Galeri Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, Zunar merupakan antara kartunis yang konsisten serta komited dalam usahanya menyalurkan mesej kepada masyarakat secara sinis mengenai perubahan yang perlu dibuat.

“Biarpun Malaysia tidak memberi pengiktirafan kepada Zunar tetapi dunia luar begitu banyak beri pengiktirafan kepadanya. Beliau telah memenangi anugerah dunia melalui peranan kartunis di Washington yang mana mengiktiraf beliau sebagai pemangkin perubahan lanskap politik masyarakat.

Justeru beliau menyarankan rakyat menghayati karya Zunar dengan lebih dekat menerusi pameran yang diadakan itu.

Katanya, pameran ini perlu dikunjungi masyarakat seluruh Malaysia untuk merasakan jiwa kartunis dari aspek intepretasi mereka berhubung politik negara dan pendedahan penyelewengan yang perlu dibetulkan.

Pameran kartun solo bertajuk “Zunar” bertempat di Galeri 1, Galeri Shah Alam itu bermula semalam hingga 9 September depan.

Pameran itu julung kali diadakan Zunar di tanah air setelah membuat dua pameran di Bilbao, Sepanyol dan London bertemakan “Berjuang Melalui Kartun.”

Sebanyak 147 buah karya dipamerkan di mana kesemuanya berkisarkan senario politik Malaysia yang dihasilkan dari tahun 1999 sehingga kini.

Pameran yang merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor ini dibuka setiap hari kepada orang ramai dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Tiada ulasan: