HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 September 2012

Jelajah Merdeka Rakyat bukan ancaman kepada BN, kata Noh Omar

 
SUNGAI BULOH — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar melihat kempen menggunakan bas, Jelajah Merdeka Rakyat, yang dilakukan PKR bukanlah satu ancaman kepada Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Timbalan Pengerusi BN Selangor merasakan walaupun PR menggunakan teknik yang serupa seperti kempen politik di Amerika Syarikat itu, pembohongan PR tetap tidak dapat disembunyikan daripada rakyat.

“Itu cara mereka... kita sendiri ada cara kita. Dengan cara mereka, semua benda mereka nak ubah.

“Tapi, saya yakin rakyat boleh menilai, mereka mahu naik kapal terbang atau naik bot sekalipun, rakyat tetap tahu pembohongan yang mereka buat, janji yang tidak boleh ditunaikan.

“Sebab itu mereka tidak senang,” kata Noh kepada pemberita hari ini.

Noh merasakan walaupun PR menggunakan teknik yang serupa seperti kempen politik di Amerika Syarikat itu, pembohongan PR tetap tidak dapat disembunyikan daripada rakyat.
Mengulas berkenaan kenyataan PKR sebelum ini yang menyalahkan Umno ekoran insiden bas tersebut yang dilempar batu simen dan disimbah cat, Noh melihat kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali itu adalah cara politik yang menjadi amalan PKR.
 “Ini cara mereka. Orang dia simbah cat, mereka salahkan Umno. Ini cara politik mereka, mereka baru empat tahun memerintah, semua mereka tak hormat.

“Mereka telah mula hilang kuasa, dan sebab itu mereka cuba menyanyi lagu lama lagi.”

Awal hari ini, Azmin menegaskan
akan terus melakukan siri jelajah tersebut seperti yang dirancang walaupun bas yang digunakan untuk jelajah itu telah dilempar batu dan disimbah cat di bahagian pemandunya.

Jelas Azmin, tindakan serangan itu juga tidak akan membantutkan usaha PKR untuk menyampaikan mesej reformasi di seluruh negara.

“Jika tujuan serangan ini untuk menyekat kempen jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sedikit pun tidak menggugat nekad kami untuk turun menyampaikan mesej reformasi di seluruh pelosok negara.

“Beliau (Anwar) akan meneruskan kempen ke Kedah, Perak, dan Perlis hari ini hingga Ahad menggunakan bas yang sama selepas siasatan pihak polis terhadap bas itu selesai,” kata Azmin ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Bas berkenaan telah diserang di Pasar Siti Khadijah pada jam 4.20 pagi apabila ia di letakkan di lokasi itu untuk program awal pagi ini, iaitu program pertemuan ketua pembangkang itu dengan pengunjung pasar berkenaan, dan disedari oleh petugas KeadilanEventSpecialist yang tidur di dalam bas apabila dikejutkan dengan bunyi kuat.

Berdasarkan pemeriksaan, mereka mendapati cermin bas pecah di bahagian sisi hadapan pemandu akibat dilempar beberapa ketul bata simen dan kantung plastik berisi cat merah turut dilempar di bahagian pemandu bas berkenaan.

“Serangan yang dibuat memang mensasarkan bahagian pemandu. Saya berani menyimpulkan bahawa serangan ini dirancang agar bahagian pemandu rosak dan menghalang bas ini meneruskan perjalanan dan membantutkan program ini,” kata Ahli Parlimen Gombak ini lagi.

Sehubungan itu, PKR mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden ini, namun Azmin enggan membuat spekulasi pihak yang bertanggungjawab dalam insiden serangan tersebut.

Malah, Azmin juga menggesa rakyat agar menghukum parti politik yang menaungi budaya samseng seperti ini.

“Saya yakin, kali ini pun rakyat tidak mendapat sebarang maklum balas dari Datuk Seri Najib Razak dan siasatan polis tidak akan membuahkan tindakan keras terhadap kaki samseng yang terlibat.

“Ia seolah-olah satu rangsangan terus dari Najib kepada samseng lain untuk terus berlaku kasar terhadap mengancam keselamatan pimpinan utama PKR dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya lagi.

Bas itu, bagaimanapun, telah meneruskan perjalanan dalam keadaan cermin yang retak seperti yang dirancang selepas selesai siasatan pihak polis memandangkan cermin berkenaan memerlukan tempoh seminggu untuk ditempah.

Berkenaan permit penumpang bas terbabit, Azmin menjelaskan PKR telah pun memohon permit berkenaan sejak seminggu yang lalu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan, namun pihaknya masih lagi belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

“Kami berharap pihak bertanggungjawab dan berwajib dapat memberikan permit secara adil kepada kami.

“Apa-apa pun kita akan terus menggunakan bas itu untuk program jelajah kami,” tambahnya.

Tiada ulasan: