Cawangan-cawangan itu ialah Simanggang, Lingga dan Pantu.
SRI AMAN: Tiga buah cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah mengumumkan kesetiaan mereka untuk terus berjuang bersama dengan kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Tiga buah cawangan yang menyatakan kesetiaan terbabit adalah SUPP cawangan Simanggang, SUPP cawangan Lingga dan SUPP cawangan Pantu.
Pengerusi SUPP cawangan Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis menzahirkan ikrar itu dalam sidang media di sini hari ini.
“Kita akan terus ‘sink and swim’ (bersama-sama) kumpulan Soon Koh demi memastikan semua kerusi parlimen milik SUPP berjaya dipertahankan pada pilihan raya umum ini nanti.
“Selepas itu barulah kita akan menyelesai masalah dalaman parti bersama-sama dengan kumpulan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui selepas tamat pilihan raya demi masa depan SUPP,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kumpulannya akan tetap menyokong mana-mana calon SUPP Barisan Nasional (BN) yang dipilih untuk mempertahankan kerusi parlimen milik parti itu pada PRU-13 kelak.
Menurut Harden, SUPP cawangan Simanggang, Lingga dan Pantu juga membantah tindakan jawatankuasa pemilihan calon SUPP yang memecat keahlian Steven Wong dan Paul Hii dari parti berkenaan pada 2 November lepas.
“Kami mendesak agar pihak tertinggi SUPP untuk mempertimbangkan semula tindakan menyingkir kedua-dua bekas anggota parti tersebut hanya disebabkan oleh tindakan melanggar arahan jawatankuasa pemilihan calon parti,” katanya.
Terdahulu ahli SUPP cawangan Bintangor Steven Wong, dikatakan sedang berkempen di kawasan Parlimen Sarikei hasil bantuan Peter Hii untuk melobi peluang menjadi calon SUPP bagi kerusi parlimen pada PRU-13 ini.
Bagaimanapun Wong dan Peter yang merupakan kumpulan Soon Koh telah dipecat dari menjadi anggota parti SUPP setelah didapati melanggar arahan jawatankuasa pemilihan calon selepas itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan