Para penduduk percaya kejadian tersebut berpunca daripada projek persimpangan bertingkat (fly-over) Lebuhraya Kajang- Seremban.
SEREMBAN: Walaupun Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan (JKR) telah mengambil tindakan segera dengan memulakan kerja-kerja penstabilan cerun berhampiran dengan kaki cerun Taman Desajaya, Paroi tetapi penduduk di kawasan perumahan tersebut tetapi
bimbang kemungkinan berlakunya tanah runtuh.
Seminggu yang lalu media melaporkan berhubung keresahan hampir 10 keluarga di kawasan perumahan tersebut berikutan kejadian hakisan cerun bukit dan tebing runtuh berhampiran depan rumah mereka.
Para penduduk percaya kejadian tersebut berpunca daripada projek persimpangan bertingkat (fly-over) Lebuhraya Kajang-Seremban yang turut membabitkan kerja pengalihan laluan Sungai Paroi.
Penduduk mendakwa alihan sungai tersebut yang berdekatan dengan tebing curam perumahan menyebabkan struktur tanah terhakis.
Justeru itu JKR Negeri Sembilan telah melaksanakan kerja-kerja penstabilan cerun berkenaan dengan menggunakan kaedah jangka panjang iaitu ‘Hybrid Anchor’.
Kerja ‘Hybrid Anchor’ telah dimulakan dan dijangka siap dalam temph enam bulan iaitu pada April 2013. Sementara itu bagi tindakan jangka pendek semua ‘plastic sheeting’ yang telah rosak akan digantikan dan ditambah bilangan.
Tinjauan FMT petang semalam mendapati kerja-kerja penstabilan sedang giat dijalankan dan mendapati ada di kalangan penduduk yang tetap melahirkan kebimbangan.
Mohd Azri Zabadi, 30, berkata walaupun kerja penstabilan telah dimulakan tetapi tempoh enam bulan untuk menyiapkan sepenuhnya kerja penstabilan cerun ini tetap merisaukan beliau sekeluarga.
“Saya puas hati kerana kerja penstabilan cerun telah dimulakan dengan segera. Tetapi apa yang saya bimbang ialah seandainya kejadian tanah runtuh berlaku dalam tempoh enam bulan sebelum kerja penstabilan ini sempat disiapkan, kerana tempoh enam bulan memang lama.
“Sekarang pun hampir setiap hari hujan. Masuk bulan Disember (musim tengkujuh) saya percaya taburan atau kekerapan hujan akan bertambah.
“Walaubagaimanapun saya belum nampak sebarang kerja penstabilan atau pemulihan pada bahagian tebing tanah yang jatuh berhampiran dengan Sungai Paroi.
“Dua minggu lepas besi-besi penghadang di bawah tebing tanah ini tegak di tebing sungai. Namun kini banyak besi penghadang ini telah jatuh. Sebahagian tanah dari tebing ini juga telah jatuh ke bawah tebing sungai,” kata Mohd Azri.
Mohd Azri berpendapat aliran Sungai Paroi sepatutnya tidak diusik. “Jangan usik benda yang dah ada semulajadi. Bila dah diusik macam -macam boleh berlaku,” katanya.
Hakisan tanah
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani yang membawa isu ini ke pengetahuan FMT berkata beliau percaya masalah hakisan tanah cerun dan tebing ini adalah berpunca daripada perancangan yang tidak betul.
“Sepatutnya apabila projek ini dimulakan pihak berkenaan sepatutnya mengambil kira faktor hujan lebat. Kalau projek ini dibuat dengan perancangan yang betul kenapa masalah hakisan tanah cerun ini berlaku?
“Penduduk masih bimbang jika runtuhan tanah yang besar berlaku memandangkan hujan semakin berterusan.
“Jawapan Pengarah JKR Negeri Sembilan tidak meyakinkan saya dari segi keselamatan rakyat setempat. Tempoh enam bulan bermaksud setengah tahun baru kerja penstabilan cerun siap.
“Saya juga belum nampak sebarang kerja penstabilan dilakukan di tebing Sungai Paroi buat masa ini’, kata Mohd Taufek.
Mohd Taufek juga kesal kerana aliran sungai semula jadi diusik semata-mata kerana projek pembangunan yang boleh mengundang bahaya kepada penduduk perumahan berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan