HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 November 2012

Fiqh: Bolehkah menyebut "si fulan ahli neraka”

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil,

Soalan; Bolehkah kita menghukum seseorang berdasarkan kepada zahir amalannya, contohnya kita kata si A masuk syurga, si B kafir, si C masuk neraka berdasarkan kepada perbuatan zahir mereka? Bukankah Nabi pernah mengatakan seorang wanita masuk neraka dengan sebab dia menyeksa seekor kucing dan seorang wanita yang lain masuk syurga sebab dia memberi minum seekor anjing?

Jawapan;

1. Tidak boleh kita menyebut secara pasti dengan merujuk kepada individu seperti kita berkata "Si Fulan adalah ahli neraka" atau "Si Fulan ahli syurga". Hal ini kerana sekalipun seorang itu melakukan dosa, pintu taubat dan pemgampunan Allah masih terbuka untuknya. Hari ini dia melakukan maksiat, mungkin esok dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan dia menjadi ahli syurga.

Begitu juga, boleh terjadi seorang itu hari ini rajin beribadah, namun esok atau hari depan dia menjadi pelaku maksiat dan mati dalam maksiat, lalu ditempatkan Allah dalam neraka. Yang boleh kita ucapkan ialah dengan menyandar kepada perbuatan seperti kita berkata; "Perbuatannya itu boleh menyebabkan dia diazab dalam neraka" atau "Amalannya itu adalah amalan ahli syurga", dengan syarat terdapat nas daripada al-Quran atau as-Sunnah menegaskan tentang amalan tersebut (sebagai amalan yang diredhai Allah atau dimurkai-Nya, atau sebagai amalan syurga atau yang mengundang neraka).

2. Adapun Nabi bercakap berdasarkan wahyu daripada Allah. Jika Nabi berkata "Si Fulan adalah ahli syurga" (sebagaimana yang diucapkan tentang 10 sahabat yang dijamin syurga), itu adalah daripada apa yang Allah khabarkan kepada baginda. Begitu juga, jika baginda berkata "Si Fulan ahli neraka" atau "Si Fulan di azab dalam kuburnya" (sebagaimana ucapan baginda tentang penghuni dua kubur yang diazab kerana mengadu domba dan tidak menjaga kencingnya), itu juga perkhabaran daripada Allah.

Adapun kita hari ini, tidak ada wahyu yang turun memberitahu kita si fulan adalah ahli syurga atau si fulan ahli neraka kerana tiada Nabi lagi selepas Nabi Muhammad. Yang ada pada kita ialah al-Quran dan as-Sunnah yang menyebutkan amalan-amalan yang membawa ke syurga atau ke neraka dan golongan-golongan ahli syurga dan ahli neraka secara umum kecuali individu-individu tertentu yang disebut secara jelas sebagai ahli syurga atau ahli neraka. Maka orang lain selain individu itu masa depan mereka masih tidak pasti bagi kita.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa Umar r.a. pernah menegur di dalam khutbahnya; “Kamu sekelian selalu berkata semasa peperangan bahawa “Si Fulan adalah syahid” dan “Si Fulan telah mati sebagai seorang syahid”… Janganlah sekali-kali kamu berkata seperti itu, akan tetapi ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan Rasulullah SAW;

“Sesiapa yang gugur di jalan Allah atau terbunuh (di jalan Allah), maka dia adalah syahid”.

(Hadis hasan, riwayat Imam Ahmad. Lihat; Fathul-Bari, juz. 9, bab La Yaqul Fulan Syahid).

http://ilmudanulamak.blogspot.com

Tiada ulasan: