HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 November 2012

Pakatan pembangkang umpama ‘perkahwinan gay’ kata Puad


KUALA LUMPUR — Pakatan pembangkang, hari ini Pakatan Rakyat (PR) diumpamakan sebagai "perkahwinan gay" kerana peranan pemimpin setiap parti komponen PR tidak jelas, kata Ahli Parlimen Batu Pahat, Puad Zarkashi.

Timbalan menteri pendidikan itu turut menegaskan, konsensus ketiga-tiga parti komponen PR, DAP-PAS-PKR dilihat hanya sebagai lakonan untuk menunjukkan seolah-olah mereka bersatu.

"Ini saya nak umpamakan hanya seperti amalan "gay marriage", kita tak tahu siapa ibu siapa bapa," katanya di Parlimen hari ini.

Beliau turut mengemukakan contoh antara - Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Pengerusi DAP Karpal Singh dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang - tidak jelas siapa ketua antara mereka.

"(PR) nak tunjuk mereka bersatu, hakikatnya kita dapati perpaduan dalam PR adalah tidak sepertimana mereka gambarkan.

"Kalau parti sendiri tak demokrasi, macam mana nak pilih perdana menteri?" soal Puad (gambar) merujuk kepada gesaan perwakilan ketika Muktamar Tahunan Ke-58 PAS baru-baru ini yang mahukan Abdul Hadi dilantik menjadi perdana menteri.

Muktamar PAS minggu lalu di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) melihatkan beberapa perwakilan daripada Dewan Ulama dan Dewan Muslimat bertegas mahukan Abdul Hadi dilantik menjadi perdana menteri.

"Cadangan pelantikan Abdul Hadi sebagai perdana menteri  semasa muktamar PAS membuktikan akar umbi PAS rasa sangsi tentang kebolehan Anwar menjadi perdana menteri.

"Saya yakin ahli PAS percaya Anwar ada masalah moral. Pada saya ini bukti berlaku kecelaruan dalam perpaduan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau turut menambah, amalan setuju "setuju untuk tidak bersetuju" yang diamalkan PR adalah bukti bahawa tanda pakatan pembangkang itu akan memporak perandakan negara.

"Kalau mereka memerintah, macam mana nak tadbir.

"Isu siapa jadi perdana menteri itulah tanda ramai ahli PAS sangsi kemampuan Anwar jadi perdana menteri atas isu moral dan peribadi," tegasnya lagi.

Tiada ulasan: